Trump arah ujian nuklear, AS anggap sebagai tindakan berhemah

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) menegaskan langkah menjalankan ujian keupayaan nuklear bukan bertujuan mencetuskan provokasi, sebaliknya sebagai tindakan berhemah bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negaranya.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, ujian itu penting untuk menilai tahap keupayaan sistem nuklear negaranya yang disifatkannya sebagai antara paling canggih di dunia.

“Melakukan ujian terhadap keupayaan ini dianggap sebagai langkah yang wajar dan berhemah,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan Jabatan Perang segera memulakan ujian senjata nuklear.

Arahan itu dikeluarkan selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan kejayaan Moscow melakukan ujian dron nuklear bawah air.

Trump juga menyatakan Amerika Syarikat mempunyai lebih banyak senjata nuklear daripada negara lain selain memuji usahanya sendiri untuk melakukan kemas kini lengkap dan pengubahsuaian senjata sedia ada.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai bentuk ujian bakal dijalankan, Hegseth enggan mengulas lanjut namun menegaskan Washington mempunyai kemampuan nuklear yang kukuh serta berkesan.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa AS semakin hilang kepercayaan daripada sekutunya di rantau Indo-Pasifik.

“Saya tidak fikir kami pernah kehilangan kepercayaan tersebut. Kami terus memberi tumpuan kukuh dan berterusan terhadap rantau Indo-Pasifik, mengekalkan kehadiran kami yang sudah lama terjalin. Kami tidak pernah pergi dan tidak akan ke mana-mana,” tegasnya.

Hegseth turut memuji hubungan pertahanan erat antara AS dan negara-negara ASEAN di bawah kerangka ADMM-Plus sambil menyifatkan Malaysia sebagai negara penting dan indah dalam rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |