‘Trak pikap boleh keluar gua’, pemilik syukur diesel turun harga

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya pemilik kenderaan trak pikap yang menyambut baik perkembangan itu.

Di platform Threads, rata-rata pengguna meluahkan rasa syukur kerana kos penggunaan harian dijangka berkurangan selepas beberapa bulan berdepan harga diesel yang lebih tinggi.

Malah, ada yang berseloroh bahawa ‘trak pikap sudah boleh keluar gua’ kerana pemilik kenderaan pacuan empat roda kini tidak lagi terbeban dengan kos bahan api seperti sebelum ini.

Seorang pengguna berkata, pemilik trak pijap kini boleh kembali menggunakan kenderaan mereka dengan lebih kerap susulan penurunan harga diesel.

“Dengar cerita diesel dah turun RM2.10 per liter bermula Julai ni. Syok lah pemilik 4×4 bawak lorong kanan lepas ni berdesup,” komen @Umar.znddn.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna berpendapat pasaran kenderaan diesel terpakai berkemungkinan kembali pulih selepas sebelum ini menyaksikan harga jualan menurun akibat kenaikan harga diesel.

“Siapa yang baru jual kereta diesel minggu lepas memang putih mata. Banyak kenderaan 4×4 dan MPV diesel turun harga sepanjang beberapa bulan diesel mahal. Diesel dah murah semula, naik semula lah harga ‘second hand’ kenderaan diesel,” kata @Muaz_aziz88.

Dalam pada itu, terdapat juga pengguna yang berharap penurunan harga diesel akan memberi kesan rantaian terhadap kos logistik dan akhirnya menurunkan harga barangan di pasaran.

“Alhamdulillah, harap harga barang turun juga. Jom beli 4×4 jom,” komen @Fadilah_cuckoo.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai bulan depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui Budi Madani RON95.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |