TAPAH – Penglibatan tok batin dijangka menjadi ikhtiar tambahan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, pasukan penyelamat telah menjejaki semua laluan dan kawasan yang dikenal pasti, namun usaha itu masih belum menemukan mangsa.
“Semua usaha telah dibuat dan semua kawasan telah pun dijejaki. Kita berharap dengan izin Allah, kalau ada hijab, maka hijab itu akan terbuka.
“Saya ingat Tok Batin Orang Asli pun akan turut campur tangan untuk melihat, mudah-mudahan dapat ditemui dengan selamat, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Op SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd. Fadzil Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yusri Mohd. Yusoff @ Hashim.
Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan penyelamat juga tidak akan berputus asa dalam usaha mengesan mangsa dan operasi akan diteruskan mengikut prosedur ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, jika usaha pencarian masih menemui jalan buntu, pihak berkuasa akan membuat keputusan seperti mana kes melibatkan Mohamad Ashraf Hasan atau Acap yang dilaporkan hilang di Gopeng.
“Seperti biasa kita ikut prosedur. Operasi bermula Ahad lalu dan sehingga Ahad depan, ia telah diadakan selama seminggu. Jika ia tidak berhasil, keputusan akan dibuat seperti mana kes yang berlaku di Gopeng,” katanya.
Dalam pada itu, menceritakan keadaan keluarga mangsa, beliau berkata, keluarga mangsa dilihat reda dan tabah menghadapi situasi tersebut selain terus berharap mangsa dapat ditemukan dengan selamat.
“Di sini ada suami, abang, kakak dan anak-anak mangsa. Mereka nampaknya bersedia dan reda menerima apa juga keadaan.
“Cuma doa mereka, kalau boleh ditemui (mangsa). Saya pun nasihatkan mereka supaya tidak putus berdoa,” katanya.
Diajukan kemungkinan penambahbaikan prosedur aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan, Saarani berkata, kumpulan pendaki terbabit telah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini menetapkan bahawa mana-mana individu yang mahu memasuki hutan simpan di Perak perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Yang terlibat dalam pendakian ini juga adalah malim gunung, ini bermakna mereka adalah orang yang faham dan akan sentiasa patuh kepada prosedur selain bukan kali pertama memasuki kawasan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5






![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)






































