KLANG – Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di atas tanah parkir milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) perlu dijadikan penanda aras baharu kepada kecekapan pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan berimpak tinggi untuk rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tertarik dengan cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk memanfaatkan kawasan luas berhampiran Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi pembangunan bersepadu yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurut beliau, pembangunan TOD di kawasan strategik bukan sahaja meningkatkan kecekapan mobiliti rakyat, malah memberi nilai tambah ekonomi melalui penyediaan perumahan mampu milik, kemudahan parkir mencukupi serta ruang niaga berskala sederhana.
“Di Kuala Lumpur sudah ada rancangan di kawasan-kawasan Transit Aliran Massa (MRT) dibangunkan.
“Jadi, dalam projek ini saya nak tengok bagaimana kita boleh diuruskan dalam tempoh singkat melibatkan pelbagai pihak termasuk Prasarana supaya kelulusan boleh dicatatkan sebagai rekod terbaik dalam memberikan kelulusan yang cepat dan efisien,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran LRT Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan keperluan memendekkan tempoh kelulusan projek tanpa mengabaikan integriti serta tatakelola, selain menolak sebarang unsur salah guna kuasa dalam pentadbiran.
“Jangan curi wang, jangan sakau, jangan ambil komisen. Ini mesti kita tegas,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan TOD di kawasan sesak tidak wajar dibazirkan kerana ia mempunyai nilai ekonomi tinggi selain mampu mengurangkan kos perjalanan rakyat melalui integrasi pengangkutan awam yang lebih efisien.
Katanya, projek berkenaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dengan memastikan elemen asas seperti parkir mencukupi, kedai berskala kecil dan sederhana serta perumahan mampu milik tidak diketepikan.
“Jadi saya akan minta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dengan Kementerian Kewangan boleh digerakkan supaya aspek pembangunan ini ditumpukan oleh sektor yang berasingan.
” Ini supaya Prasana yang diamanah dalam menjamin kepantasan dan kecekapan sistem pengangkutan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang akhbarnya memaklumkan kementeriannya telah mengenalpasti beberapa kawasan di sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam untuk melaksanakan TOD.
Ini termasuk sekitar stesen Sri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia yang mempunyai kawasan yang luas untuk membangunkan pusat komersial atau perumahan mampu milik.
“Kalau dulu park and ride sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan dan katakan kalau untuk 600 kenderaan kebiasaannya mereka yang menggunakan LRT ini dia akan letak kenderaan dari pagi sampai malam.
“Jadi, walaupun ada 600 petak ia hanya akan memanfaatkan 600 itu sahaja kerana dia guna sepanjang hari jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan adalah untuk kita optimumkan penggunaan tanah dan konsep TOD ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4

















































