PUTRAJAYA- Kerajaan Madani kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa yang mana ia perlu terus bebas daripada sebarang pengaruh luar melibatkan sebarang keputusan mahkamah.
Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk kepada keputusan penghakiman yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam. Ingin ditegaskan bahawa Kerajaan Madani kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Anwar berkata, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan.
Katanya, ia selain kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.
“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Najib dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” jelasnya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berhubung Titah Adendum terhadapnya untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching mendapati Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
5
![[VIDEO] ‘Beginilah kami di hari akhir persekolahan…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-Balr.jpeg)






![[VIDEO] Adik Medina selesai jalani pembedahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/medina.jpeg)

![[VIDEO] Treler terbalik, trafik sesak 4km di Seafield](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/lori-terbalik.jpeg)




































