Tinggal tunggu kelulusan kerajaan – TMJ

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pemain warisan dari Belanda, Hector Hevel sudah bersetuju untuk menyarung jersi Harimau Malaya sejak 31 Januari lepas.

“31 Januari semua dah lapor, cuma menunggu kelulusan kerajaan aja (sahaja). Malas nak bising-bising,” kata Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi muat naik status di Instagram peribadinya hari ini.

Sebagai rekod, pengurusan baharu Harimau Malaya akhirnya menunaikan janji untuk mendapatkan pemain berdarah warisan dari Belanda selepas kelab dari Portugal, Portimonense mengesahkan Hevel sudah mendapat panggilan skuad kebangsaan pada kem latihan pusat minggu depan.

Meskipun tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelab Portimonense telah memberi bayangan menerusi laman sosial selepas mengesahkan Hevel sudah menukar kerakyatannya menjadi warganegara Malaysia.

“Convocado (dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya)” kata kelab Portimonense secara ringkas sambil memaparkan bendera Jalur Gemilang.

Sebagai rekod, Hevel yang kini berusia 29 tahun lahir di Leidschendam, Belanda dan pernah mewakili beberapa kelab seperti ADO Den Haag, Guangxi Pingguo FC sebelum berhijrah ke Portimonense sejak Februari lepas.

Menurut laman sukan antarabangsa Transfermrket.com, Hevel memiliki tanda harga sebanyak €450,000 (RM2.1 juta) dan telah beraksi dalam lima perlawanan bersama Portimonese pada saingan Liga Divisyen 2 Portugal musim ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend pada Januari lepas mengesahkan seorang pemain berdarah warisan dari Belanda hampir pasti menyarung jersi skuad kebangsaan.

Difahamkan, tiga pemain berdarah warisan baharu akan menyertai 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Isnin ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |