Tiga lemas dalam lubang pembetung

1 day ago 6

LENGGONG – Tiga lelaki lemas setelah terperangkap di dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan resort di Kg. Ibol, Sumpitan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.08 pagi tadi.

Beliau berkata, terdapat seramai tujuh orang mangsa telah terperangkap di dalam lubang pembetung semasa melakukan kerja- kerja pembersihan di sebuah resort baharu yang sedang dibina.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa lima orang pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.

“Manakala terdapat dua orang pekerja masih lagi terperangkap di dalam lubang pembetung tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa terakhir dikeluarkan oleh anggota bomba dari pembetung telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir.

Beliau berkata, saiz lubang pembetung tersebut dianggarkan 5.1 meter (m) panjang, 4.1m lebar dengan kedalaman 2.4m.

“Ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap beserta alat pernafasan dan turun ke dalam pembetung untuk mengeluarkan mangsa.

“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan mangsa ditarik keluar dari lubang pembetung.

“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan KKM dan mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sabarodzi berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dua daripada mangsa yang meninggal dunia merupakan warganegara berusia 29 dan 37 tahun sementara seorang lagi adalah warga Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |