PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M. Nasir memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung tindakan saman yang difailkannya terhadap MyTeksi Sdn. Bhd. berkaitan dakwaan penggunaan nama dan jenamanya tanpa kebenaran bagi tujuan promosi komersial.
M. Nasir atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, mengambil pendekatan berhati-hati dengan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak peguam untuk dikendalikan mengikut proses undang-undang.
“Saya tiada komen. Saya tak berani nak cakap,” katanya ringkas ketika ditemui di sidang media pelancaran album baharu kumpulan Pita Hati berjudul Algoritma 432, terbitan Luncai Emas, di sini, semalam.
Ditanya adakah dia kesal apabila namanya sewenang-wenangnya digunakan untuk tujuan pemasaran, kata pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu, tiada siapa yang suka nama digunakan tanpa persetujuan.
“Dari mana-mana sudut pun kita tak suka kalau perkara itu bukan daripada kita sendiri. Nama adalah hak moral kita,” jelasnya.
Terdahulu, sebelum ini, M. Nasir bersama syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd, dilaporkan memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dia mendakwa namanya digunakan tanpa kebenaran dalam satu kempen promosi minuman kopi yang dipaparkan menerusi platform media sosial syarikat berkenaan.
Plaintif mendakwa penggunaan frasa “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” dalam bahan promosi tersebut boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai seolah-olah dia mempunyai hubungan atau kerjasama dengan produk yang diiklankan.
Sehubungan itu, M. Nasir menuntut ganti rugi melebihi RM5 juta, termasuk ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, selain memohon perintah injunksi bagi menghalang penggunaan lanjut nama serta jenamanya untuk tujuan komersial tanpa kebenaran. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6


![[VIDEO] Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-19-at-9.25.01-PM.jpeg)













































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)