‘Tiada apa tinggal selain kenangan’

5 hours ago 5

MEKAH – Sebalik perjalanan jutaan umat Islam menunaikan ibadah haji, terdapat individu dalam diam menguruskan urusan terakhir jemaah dan membantu waris kehilangan insan tersayang jauh dari tanah air.

Individu itu ialah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ditugaskan menguruskan sijil kematian jemaah pada setiap kali musim haji.

Menurut Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz) JPN, Salasiah Masron, tugasnya bukan sekadar menguruskan dokumentasi, tetapi menjadi antara individu awal berhubung dengan waris selepas kematian berlaku.

Salasiah yang pertama kali bertugas di tanah suci berkata, tidak dinafikan setiap panggilan diterima membawa khabar yang berat, namun perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.

“Sebaik sahaja menerima maklumat kematian jemaah dari Lembaga Tabung Haji (TH) dan hospital, JPN membantu menguruskan sijil kematian.

“Kami menerima laporan kematian di sini, mendaftarkannya serta merekodkan butir-butir berkaitan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat JPN,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Salasiah, pihaknya menggunakan sistem integrasi TH dan Sistem Kematian Hedjaz JPN yang membolehkan maklumat dari Mekah dan Madinah diterima terus di tanah air.

Katanya, sijil kematian kemudian boleh dikeluarkan di mana-mana pejabat JPN di sebaik sahaja maklumat lengkap diterima dan lebih pantas sebelum 2013 apabila segala urusan terpaksa dilakukan secara manual.

Menurut beliau, antara inisiatif dilaksanakan oleh JPN adalah menyediakan sesi temu janji khas bagi urusan penyerahan sijil kematian yang amat penting khususnya untuk pengurusan harta.

Salasiah berkata, kehadirannya di tanah suci bukan sekadar menguruskan dokumen kematian semata-mata, namun bagaimana untuk membantu waris jemaah pada saat paling sukar dalam hidup.

“Tetapi akhirnya saya kembali kepada soal qada dan qadar. Semua yang berlaku sudah ditentukan Allah dan kita hanya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

“Apabila berlaku kematian, tiada apa lagi yang tinggal melainkan kenangan. Sebab itu kami cuba menyantuni waris dalam keadaan bersedih. Itu yang kami cuba lakukan sepanjang bertugas di sini,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |