Teroka dasar laut melalui selaman bebas

17 hours ago 8

KEINDAHAN panorama dasar laut membuatkan Nur Aisyah Mohamad Azmi sanggup mengeluarkan modal besar demi mempersiapkan diri menyertai aktiviti freediving atau selaman bebas. 

Berenang bebas tanpa menggunakan tangki oksigen di kedalaman sekitar lima meter membuatkan Nur Aisyah lebih tenang menghayati keindahan hidupan marin.

“Saya sangat teruja melihat keindahan terumbu karang dan penyu yang berenang bebas di dasar laut ketika melakukan aktiviti snorkeling, ia menjadi titik tolak untuk belajar kemahiran freediving. 

“Kemudian, saya mula mengikuti kelas dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 untuk dua jam. 

“Menariknya, hanya dengan satu sesi, saya sudah boleh menyelam sedalam lima meter. 

“Minat itu semakin bercambah apabila sudah tahu bagaimana teknik pernafasan dan equalize dengan betul untuk selaman bebas. Saya juga memang sudah mahir berenang,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini. 

Sejak aktif dalam aktiviti itu kira-kira tiga tahun lalu, Nur Aisyah mengakui, pengalaman menyelam di Bali, Indonesia dan Maldives antara yang sukar dilupakan. 

Katanya, keindahan dasar laut di dua kawasan itu mempunyai permukaan air jernih, selain dihuni pelbagai spesies hidupan laut yang menjadi tarikan buat para pencinta selaman dari seluruh dunia. 

NUR AISYAH sering melakukan latihan selaman bebas di kolam bagi meningkatkan keyakinan diri.

“Meskipun kos ke Maldives agak mahal, namun pengalaman di sana jelas berbaloi kerana saya berpeluang melihat sendiri pelbagai jenis haiwan seperti leopard shark, whale shark dan manta ray bersaiz sekitar tiga hingga empat meter. 

“Saya menghabiskan masa sekitar tujuh hari dan kebanyakan masa dihabiskan dengan menyelam. Saya juga berpeluang berenang bersama kumpulan nurse shark.

“Di Bali pula, saya berpeluang menyelam dan meneroka bangkai kapal USAT Liberty yang menjadi antara lokasi selaman paling popular di dunia sehingga membuat saya berasa seperti tidak mahu pulang,” ujarnya sambil berseloroh. 

Bercerita tentang kepuasan aktiviti itu, keindahan terumbu karang berwarna-warni bersama ribuan ikan berenang bebas memberi ketenangan yang membuatkan dia tertarik dengan dunia dasar laut. 

Meskipun hanya berpeluang berada di bawah air untuk tempoh singkat kerana perlu menahan nafas, namun setiap detik memberi 1,001 makna buat dirinya. 

“Setiap kali berenang ke dasar laut, saya sentiasa berasa ingin menangis kerana keadaannya terlalu indah, memukau dan mengujakan. 

WANITA berusia 25 tahun ini sentiasa memastikan keselamatan sepanjang melakukan aktiviti selaman bebas menerusi latihan berterusan dan persediaan rohani.

“Perasaan tenang dan damai sangat sukar untuk digambarkan, lebih-lebih lagi apabila kita melihat sendiri hidupan laut berenang di depan mata seperti  memasuki dunia berbeza,” ujarnya. 

Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu sentiasa memastikan keselamatan sepanjang melakukan aktiviti selaman bebas menerusi latihan berterusan dan persediaan rohani. 

Baginya, laut merupakan kawasan yang tidak boleh dipandang ringan kerana risiko tetap wujud, meskipun hanya dengan kesilapan kecil. 

“Berdoa itu perkara wajib setiap kali sebelum memulakan selaman, walaupun sudah berpengalaman, lautan boleh menjadi tempat yang berbahaya jika kita leka. 

“Perasaan takut ketika mula melakukan aktiviti ini merupakan perkara biasa. 

“Paling penting, kita perlu beri tumpuan sepenuhnya kepada sesi latihan terutama belajar pernafasan, bertenang dan teknik asas selaman. 

“Cuba perlahan-lahan sehingga perasaan takut itu hilang sedikit demi sedikit secara semula jadi. 

“Kita perlu menguasai kemahiran selaman dengan lebih baik,” katanya yang aktif berkongsi pengalaman selaman bebas di TikTok, Real.eycah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |