KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim tidak menyangka ramai yang meminati wataknya sebagai ‘hero tua’ dalam drama Dendam Seorang Mentua yang sedang hangat ditayangkan di saluran Astro.
Menurut Yusry, watak Datuk Muzaffar yang dibawakannya disukai oleh semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak.
“Terkejut ramai pula orang suka dengan orang tua sejak kebelakangan ini. Saya tak faham. Tetapi saya rasa ramai yang sukakan karakter Datuk Muzaffar yang sangat ‘caring’. Saya gembira dapat melakonkan watak itu.
“Sejujurnya saya tak sangka drama ini dan watak saya akan viral. Saya sendiri tak faham ‘hype’ yang diterima untuk drama ini.
“Sewaktu kami jalani penggambaran, kita tak menjangkakan drama ini akan menjadi fenomena,” katanya ketika ditemui pada pelancaran single baharunya yang berjudul Jiwa & Raga, di sini, semalam.
Tambah penyanyi yang juga anggota kumpulan KRU itu lagi, drama lakonannya bukan sahaja mendapat sambutan hebat di kaca televisyen, malah dalam platform media sosial seperti TikTok.
“Sebelum penonton menonton di kaca televisyen, mereka tonton dalam TikTok dulu. TikTok yang pertama melonjakkan drama ini,” jelasnya.
Ditanya apa yang membuatkan bersetuju untuk menerima watak tersebut, kata suami kepada Lisa Surihani itu, dia tertarik dengan idea meletakkan pelakon senior sebagai watak utama.
“Waktu mereka mula-mula tawarkan untuk berlakon, saya ingat saya akan memainkan watak abang atau bapa kerana secara logik watak itu yang sesuai dengan lelaki berumur 53 tahun.
“Tapi mereka cakap tidak, saya akan bawa watak utama. Saya cakap gila ke nak jadikan orang tua sebagai watak utama. Tetapi ternyata percaturan itu menjadi. Ini semua adalah rezeki Allah.
“Saya rasa drama ini ada potensi tersendiri kerana tak pernah lagi orang buat cerita sebegini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, selain muncul dengan drama, Yusry juga baru sahaja melancarkan single solonya yang berjudul Jiwa & Raga.
Menariknya lagu bergenre balada dengan suntikan rock ini dicipta oleh Luca Sickta dan diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
8









![[VIDEO] Tiba-tiba salam, selit RM50](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rider-RM50.jpeg)


![[VIDEO] Selamba angkut kabel di tepi jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/curi-kabel.jpeg)
































