PETALING JAYA – Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) yang baharu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan itu menyaksikan beliau mengambil alih tugas daripada Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin TUDM dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Bersama yang berlangsung di Wisma Pertahanan hari ini.
Sebagai Panglima Angkatan Bersama, Tengku Muhammad Fauzi akan menerajui pemerintahan yang berperanan menyelaras operasi serta eksesais di peringkat domestik dan antarabangsa melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam perkembangan sama, Zahani pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), juga berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Kedua-dua pelantikan dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lalu sebelum mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 18 Januari 2026.
Tengku Muhammad Fauzi, 56, dilahirkan di Kuala Terengganu dan memulakan kerjaya ketenteraan menerusi Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur pada 1988 sebelum ditauliahkan sebagai Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja pada 6 Jun 1990.
Sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Panglima 10 Briged (Para), Panglima 3 Divisyen, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat serta Timbalan Panglima Tentera Darat.
Beliau juga berpengalaman luas dalam misi pengaman antarabangsa termasuk penugasan di Bosnia Herzegovina di bawah NATO selain aktif dalam latihan bersama angkatan tentera negara luar.
Dari segi akademik dan profesional, Tengku Muhammad Fauzi pernah mengikuti kursus ketenteraan di Amerika Syarikat, Indonesia dan United Kingdom serta merupakan alumni Harvard Business School.
ATM merakamkan penghargaan atas khidmat bakti Zahani sebagai Panglima Angkatan Bersama Ke-15 dan mengucapkan tahniah kepada Tengku Muhammad Fauzi atas pelantikan sebagai PAB yang baharu.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dihadiri Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai kanan ATM.- KOSMO! ONLINE.

3 hours ago
2

















































