Telco tak wajar caj perlindungan scam, MCMC digesa campur tangan

15 hours ago 3

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa mengambil tindakan tegas menghalang syarikat telekomunikasi (telco) daripada mengenakan sebarang caj kepada pengguna bagi perkhidmatan perlindungan scam.

Gesaan itu disuarakan sebuah pertubuhan dikenali sebagai Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa) susulan laporan media yang mendedahkan terdapat telco menawarkan ciri keselamatan sebagai pakej tambahan berbayar kepada pelanggan.

Berdasarkan semakan pertubuhan tersebut di laman sesawang syarikat telco, CelcomDigi dilaporkan mengenakan caj RM10 sebulan, manakala Maxis sebanyak RM5.90 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam.

Presiden Jasanusa, Samsudin Awang menegaskan bahawa langkah mengenakan caj untuk perlindungan asas adalah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat.

“Rakyat sudah membayar bil telco setiap bulan.

“Oleh itu, peranan menyekat panggilan penipuan dan melindungi pengguna daripada scam sepatutnya menjadi tanggungjawab teras dan
kewajipan moral setiap syarikat telco dan bukannya produk sampingan yang boleh dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Samsudin ketika ini, wabak penipuan siber sudah menjadi isu keselamatan negara kerana telah
mengakibatkan kerugian berbillion ringgit membabitkan ramai mangsa.

Katanya apabila telco mengkomersialkan perlindungan scam, ia boleh diumpamakan seperti memberhentikan perkhidmatan bomba dan meminta bayaran untuk memadamkan rumah yang terbakar sedangkan kerja itu adalah tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, Samsudin menggesa MCMC untuk mengeluarkan arahan khas dengan segera untuk melarang
sebarang caj tambahan bagi perkhidmatan perlindungan scam asas oleh telco.

“Tindakan MCMC untuk menyiasat perkara ini, seperti yang diarahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dipandang sebagai langkah positif.

“Namun, pertubuhan ini berpandangan bahawa siasatan sahaja tidak memadai.
Dalam isu ini, pengguna memerlukan tindakan segera, tegas dan perlindungan nyata, bukan sekadar penjelasan semata-mata. MCMC mempunyai kuasa untuk bertindak,” ujarnya

Samsudin berkata sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, kedua-dua CelcomDigi dan Maxis masih belum
mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung gesaan ini.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |