‘Tegur sebagai lelaki, jangan cakap kasar dengan perempuan’

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Selepas dihentam bertalu-talu, pelakon Daler Yusuf mengakui sudah memohon maaf secara peribadi kepada aktres Puteri Balqis susulan salah faham berhubung kenyataannya dalam media sosial, namun sehingga kini tidak menerima sebarang respons.

Menurut Daler atau nama sebenarnya Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 34, dia menghantar mesej secara langsung (DM) kepada Balqis bagi menjelaskan keadaan sebenar selain mengakui kesilapan sekiranya kenyataannya mengguris hati pelakon tersebut.

“Saya DM dia dan betul-betul minta maaf kalau kenyataan saya buat dia marah. Saya juga jelaskan bahawa saya sokong tindakan dia mempertahankan diri.

“Saya cuma tegur sebagai lelaki, kita tak boleh bercakap kasar dengan perempuan apabila berdepan sesuatu isu. Itu sahaja maksud saya. Kalau hantaran saya buat dia terasa, saya minta maaf dan terus padam kenyataan tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon drama Tuan Anas Mikael itu, dia tidak pernah berniat mencampuri urusan peribadi Balqis, sebaliknya hanya menyuarakan pandangan berhubung bahasa digunakan individu lain terhadap aktres tersebut.

“Saya minta maaf kalau komen saya buat dia marah. Tapi saya langsung tak sentuh isu peribadi dia.

“Saya sokong dia bersuara tentang pengalaman dibuli ketika kecil dan mempertahankan ibunya. Saya memang anti-buli. Saya tak suka tengok orang dikecam atau diperlakukan tidak adil,” ujarnya pada sidang media program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah, di sini, semalam.

Sebagai seorang bapa, pelakon asal Uzbekistan itu menegaskan pendiriannya menentang sebarang bentuk buli, malah sering menasihati anak-anak supaya berani bersuara jika melihat ketidakadilan.

“Saya selalu pesan pada anak-anak, jangan biarkan diri dibuli dan jangan diam kalau nampak orang lain diperlakukan begitu.

“Dalam media sosial pun, saya memang akan bersuara jika melibatkan isu buli, rogol atau keganasan. Bagi saya, itu tanggungjawab sebagai manusia,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Daler berkata, tegurannya sebelum ini hanya ditujukan kepada bapa tiri serta tunang Balqis, bukan kepada pelakon itu sendiri.

“Saya tak ada masalah dengan dia. Saya cuma rasa bahasa digunakan dalam tangkap layar dimuat naik terlalu kasar.

“Kita sebagai lelaki, lebih-lebih lagi beragama Islam, perlu jaga tutur kata apabila bercakap dengan perempuan. Tak kira apa pun situasinya,” katanya.

Menurutnya lagi, tuduhan melibatkan maruah seperti kehamilan luar nikah atau menggugurkan kandungan terhadap gadis muda merupakan perkara berat dan tidak wajar diperkatakan tanpa bukti kukuh.

“Saya sendiri ada anak perempuan. Jadi bila baca tuduhan begitu terhadap gadis 19 atau 20 tahun, bagi saya itu keterlaluan.

“Saya tak mahu perkara seperti ini dianggap normal dalam kalangan generasi muda, seolah-olah kita boleh bercakap sesuka hati terhadap wanita di media sosial,” tegasnya.

Daler turut mengakui terkejut apabila menerima lambakan komen selepas Balqis memuat naik kenyataan balas terhadapnya.

“Tiba-tiba saya dapat banyak komen. Saya faham dia marah dan mungkin salah anggap kenyataan saya.

“Saya tak baca habis pun, tapi saya tetap minta maaf di ruangan komen dan secara peribadi. Namun setakat ini, tiada respons daripada dia,” katanya.

Terdahulu, Daler berkongsi pandangan mengenai hantaran tunang serta bapa tiri Balqis dalam media sosial dan menyifatkan kenyataan tersebut keterlaluan terhadap seorang gadis muda.

Balqis kemudian membidas kenyataan aktor itu kerana didakwa mencampuri isu kontroversi melibatkan dirinya dan pelakon Mia Sara sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |