‘Tak sempurna, janganlah jadikan kami pasangan idola’

17 hours ago 10

KUALA LUMPUR – Pelakon Hairul Azreen mendedahkan kunci kebahagiaan perkahwinannya bersama isteri, Hanis Zalikha adalah dengan meletakkan fokus sepenuhnya kepada keluarga sendiri tanpa mempedulikan perihal orang lain.

Meniti fasa perkahwinan yang semakin matang, Hairul atau nama penuhnya Hairul Azreen Idris, 38, bersyukur kerana amalan komunikasi yang sihat berjaya mengelakkan mereka daripada berdepan konflik besar.

“Masalah rumah tangga alhamdulillah okey, asalkan kita ada komunikasi bagus sebab saya tak ambil tahu dan tidak tahu apa jadi dekat orang lain.

“Bagi saya jaga diri sendiri dan isteri, asalkan kalau ada benda yang salah faham kami berbincang.

“Tapi lebih banyak berkomunikasi yang bagus, susahlah ada gaduh-gaduh yang besar. Zaman ‘nak tak awak ‘couple’ (bercinta) dengan saya’, mungkin banyak bergaduh.

“Sekarang masing-masing dah faham tanggungjawab. Lebih fokus pada itu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Malah, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu, asas utama dalam sesebuah hubungan bertitik tolak daripada elemen kejujuran, amanah dan tanggungjawab demi mengelak timbul rasa curiga.

“Yang paling penting, adalah kejujuran, amanah, tanggungjawab. Kalau kita tak ada benda ini, saya tak jujur dengan Hanis, dia pun tak percaya saya keluar training.

“Kalau Hanis keluar pergi kerja, saya pun tak percaya dia,” ujarnya lagi.

Disoal mengenai pandangan apabila ramai netizen menjadikan perkahwinannya sebagai rujukan, Hairul berharap perkara tersebut tidak dilakukan secara berlebih-lebihan.

“Janganlah (jadikan idola). Tak ada manusia yang sempurna, jadi setiap orang akan tahu macam mana nak buat yang terbaik untuk keluarga dia.

“Asalkan dua-dua menghargai satu sama lain. Macam Hanis, saya gembira tengok dia dengan Cakenis dan dia pun seronok tengok saya buat Hyrox.

“Jadi kami macam jatuh cinta lagi. Malah, dekat sana saya cakap dekat dia ‘I (nama panggilan Hairul) rasa macam nak mengurat you (Hanis) sekarang’.

“Dia pula cakap dekat saya bila lari nampak kacak sangat,” kongsinya.

Hairul dan Hanis sah bergelar suami isteri pada 5 Jun 2015. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar, 10 dan Alisa Aisyah, 6. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |