‘Tak sangka naluri saya betul, kereta abang memang jumpa di situ’

1 month ago 25

JITRA – Adik kepada mangsa lemas di Sungai Korok, di sini memberitahu dia dan adik beradik lain sudah beberapa kali ke lokasi kereta ditemukan, namun tidak menemui sebarang tanda mencurigakan.

Menurut Nor Hanani Mawaddah Ishak, 30, nalurinya kuat mengatakan kereta Proton Iswara dinaiki abang, Mohamad Azim Izat, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak berada di kawasan itu.

“Kami rasa abang ada di dalam sungai di kawasan itu yang mana bila saya lalu dan berhenti di situ, saya rasa berdebar-debar.

“Saya rasa tak sedap hati dan naluri saya kuat mengatakan abang ada di dalam sungai di situ, namun tiada kepastian sebab tidak nampak apa-apa. Saya cuma nampak ada buih-buih kecil timbul pada permukaan air,” katanya ketika ditemui di rumah adiknya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.

Katanya, kali terakhir kami cari abang dan keluarga pada petang Ahad, sehari sebelum kereta ditemukan di kawasan berkenaan.

“Keesokan paginya, orang awam beritahu ada jumpa kereta di kawasan sungai itu. Memang tak sangka lokasi itu sama dengan gerak hati saya sebelum itu,” ujarnya.

Tambahnya, dia reda dengan kejadian itu, namun sangat merindui abang, kakak ipar serta empat anak saudara yang hilang sekelip mata.

“Anak-anak saudara itu memang rapat dengan saya dan adik beradik lain. Kami rindu dengan keletah mereka,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok

Mereka ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |