PETALING JAYA – Aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Musa Nuwayri mendedahkah salah seorang delegasi yang juga pelakon, Ardell Aryana menerima ancaman ketika berada di bawah tahanan rejim Zionis.
Menurut Musa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, ancaman tersebut termasuklah berkaitan keselamatan terhadap keluarga Ardell.
“Ardell dapat ‘direct’ ancaman ketika berada di imigresen Israel dan mereka tanya ‘awak ada anak?’.
“Ardell jawab tiada tetapi orang Israel itu cakap dia tahu Ardell ada dua orang anak, seorang lelaki, seorang perempuan.
“Bahkan mereka kata boleh hantar orang dan mereka ada ramai di Malaysia untuk cari anaknya. Maksudnya, orang mereka memang ada di sini,” katanya ketika ditemui di sidang media program amal Malam Untukmu Gaza di sini, semalam.
Musa berkata, perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku kerana rakyat Israel boleh memiliki dua kerakyatan dan boleh ke sini bila-bila masa.
“Kalau ikutkan, orang Israel memang tak boleh datang Malaysia tetapu sebab mereka boleh pegang dua kerakyatan. Boleh jadi mereka ada passport negara lain juga.
“Jadi memang sebenarnya tak susah untuk mereka datang ke sini,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun memberitahu pihak mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman tersebut.
“Ancaman itu memang ada kita pun sudah salurkan informasi kepada pihak-pihak yang berkenaan. Mereka pun ‘aware’ dengan apa yang kita lalui di sana.
“Zizi Kirana pun mereka tahu dia popular di sini dan yang sering buat siaran langsung dalam media sosial,” ujarnya.
Dia juga memaklumkan Ardell masih dalam proses pemulihan dan memerlukan sedikit ruang serta masa untuk bertemu dengan orang ramai termasuk dari menghadiri program ilmu.
“Setakat ini yang kita tahu Ardell yang belum memenuhi mana-mana jemputan sebab kesihatannya masih tidak mengizinkan dia untuk hadir.
“Tangan dia pun masih pakai kain anduh lagi, perlukan rehat tak boleh gerak sangat sebab tisu di bahunya yang koyak,” kongsinya.
Dalam pada itu, Musa berkongsi berita gembira apabila bakal meluncurkan buku elektronik atau e-book yang menceritakan tentang misi GSF.
“Untuk e-book yang saya tulis sudah siap, khas untuk menceritakan detik-detik cemas ketika kena ‘intercept’ sehimggalah pengalaman masuk penjara di Israel.
“E-book ini kami tak akan tetapkan harga. Kalau orang nak bayar seringgit dan dia nak baca pun kita okey,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Musa dan dua lagi aktivis GSF, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi akan hadir pada Malam Untukmu Gaza yang bakal berlangsung di Kedai Emas Sri Semantan Cawangan Jengka, Pahang, Jumaat ini.
Program berkonsepkan solidariti tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Gaza yang masig berdepan penderitaan akibat kekejaman rejim Zionis. – KOSMO! ONLINE