Enam ditahan, dadah berjumlah RM3.8 juta dirampas

4 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menumpaskan dua sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dengan melibatkan rampasan bernilai RM3.8 juta, pada minggu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, enam siri serbuan dibuat selama tiga hari bermula 14 hingga 17 Oktober hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, seramai tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia lingkungan 33 hingga 61 tahun disyaki merupakan anggota sindiket diberkas.

“Dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di Maluri, Cheras dan Ampang Jaya dengan menjumpai 1,000 peket dadah jenis methylenedioxy methamphetamine (MDMA) dengan berat 18,310 gram.

“Susulan tangkapan tersebut, polis menyerbu sebuah rumah di Pandan Perdana dan menahan seorang wanita warga asing selain merampas pelbagai jenis dadah seperti MDMA, erimin 5, ketamin dan pil ekstasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Fadil berkata, dua suspek wanita warga asing yang seterusnya ditahan di sebuah kondominium di Pandan Perdana yang turut membongkar tempat yang dijadikan sebagai stor penyimpanan serta peralatan-peralatan untuk memproses dadah.

Katanya, sindiket ini dipercayai mula bergerak aktif sejak Februari dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang.

“Dadah jenis MDMA akan diproses dahulu sebelum diedarkan dalam pasaran. Mereka turut menjadikan kondominium sebagai stor sebelum mengedarkan dadah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Fadil berkata, dalam serbuan keenam, polis menahan seorang lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Jalan Imbi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kereta jenis Honda Civic 2.0 menjumpai dadah jenis bunga ganja dengan berat 38,710 gram.

“Suspek dipercayai mula aktif sejak bulan lalu dan menjalankan pengedaran juga du sekitar Lembah Klang. Suspek juga menjadikan tempat letak kereta di kawasan pasar raya sebagai tempat transaksi dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, siasatan mendapati suspek serbuan pertama dan keenam mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

Tambah belia, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |