KOTA BHARU – Ada dalam kalangan pengasas produk kosmetik di negara ini menjadikan sekolah pondok atau madrasah pengajian yang tidak berdaftar di Kelantan sebagai lokasi pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit dengan alasan memberi sumbangan untuk saham akhirat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kegiatan tersebut dan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan.
Menurutnya, maklumat itu diperoleh hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) selepas mendapati banyak madrasah, pondok dan pusat tahfiz tidak berdaftar.
“Apabila pusat pengajian agama itu tidak berdaftar, ia mungkin boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk kegiatan pengubahan wang haram.
“Berdasarkan maklumat, ada dalam kalangan pengasas produk kosmetik sanggup memberi sumbangan mencecah jutaan ringgit kepada sekolah pondok dengan alasan pelaburan untuk saham akhirat,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Maik dalam memantau kegiatan tersebut termasuk ajaran sesat di pusat pengajian yang tidak berdaftar.
Katanya, terdapat beberapa sekolah pondok di negeri ini yang dipercayai terlibat dan menerima sumbangan hasil pengubahan wang haram daripada golongan ahli perniagaan.
“Justeru, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu status madrasah, pondok atau tahfiz sama pusat itu berdaftar dengan Maik atau sebaliknya sebelum menyalurkan sumbangan.
“Selain itu, guru yang mengajar di madrasah juga perlu dipastikan memiliki tauliah bagi mengelakkan penyalahgunaan gelaran ustaz atau wali yang menjurus ke arah penyelewengan terhadap ajaran agama Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE