Tidak pernah minta kekebalan tapi keadilan yang saksama – Najib

4 hours ago 2

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan, sebaliknya hanya mahukan kesaksamaan dan hak dilindungi di bawah undang-undang, sama seperti individu lain yang dibicarakan atas pertuduhan jenayah yang dihadapi.

“Saya hanya menuntut kesaksamaan, hak untuk diberikan perlindungan undang-undang sepertimana mana-mana individu lain yang dibicarakan sebelum saya.

“Oleh yang demikian, keputusan Yang Arif dalam kes ini akan memberi kesan yang melangkaui kedudukan saya sendiri, ia akan menentukan bentuk prinsip keadilan yang diamalkan di negara ini,” katanya ketika membaca kata-kata pengantar dalam kendang tertuduh sebelum hujahan diakhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang di Mahkamah Putrajaya.

Kata-kata pengantar itu disediakan oleh Najib sendiri semasa di Kompleks Penjara Kajang pada 26 September lalu.

Menurut beliau, keputusan hakim bicara dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dihadapinya akan memberi kesan yang melangkaui kedudukan beliau sendiri.

Sementara itu, Najib turut memaklumkan beliau merupakan satu-satunya ‘ahli politik atau penggubahan wang haram’ yang telah memulangkan semula AS$620 juta iaitu jumlah wang didakwa ‘suapan’ yang diperoleh.

Bahkah, sebelum pemulangan derma yang tidak digunakan itu, beliau sendiri telah menulis sepucuk surat kepada Gabenor Bank Negara pada ketika itu, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi mendapatkan kelulusan rasmi Bank Negara untuk pemulangan tersebut.

“Sesungguhnya adalah amat mengejutkan apabila, meskipun wujud gembar-gembur berhubung jumlah sebanyak AS$681 juta, keseluruhan jumlah tersebut masih belum pernah dibuktikan boleh dikesan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Lebih mengejutkan lagi ialah hakikatnya, bahawa saya sendiri telah memulangkan sejumlah AS$620 juta kepada akaun asal kerana dana tersebut tidak lagi diperlukan.

“Barangkali, sayalah satu-satunya ‘ahli politik atau penggubah wang haram’, yang telah memulangkan semula suapan yang diperolehi, dan barangkali juga yang pertama dalam sejarah telah memberikan notis terhadap wang ‘haram’ itu kepada Gabenor Bank Negara sendiri,” katanya lagi.

Selanjutnya, Najib memberitahu penelitian terperinci terhadap keseluruhan bukti adalah jelas menunjukkan bahawa pihak pendakwaan telah bergantung sepenuhnya kepada keterangan ‘dengar cakap’, dan telah dibantah oleh peguamnya kerana adalah jelas bahawa pihak pendakwaan tidak memenuhi prasyarat asas bagi penerimaan keterangan ‘dengar cakap’ bersifat prejudis.

Ini kerana, tiada sebarang usaha dibuktikan pihak pendakwaan untuk mencari mana-mana saksi berkenaan, sama ada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pegawai 1MDB, Terrence Geh Choh Heng.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |