Thailand belum mohon bantuan buru perompak Sungai Golok

4 hours ago 3

KOTA BHARU – Pihak berkuasa Thailand belum mengemukakan sebarang permohonan kepada polis Kelantan untuk membantu menjejaki 10 suspek yang dikatakan melarikan diri ke negeri ini selepas merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta diri sebuah pasar raya di Sungai Golok pada 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, bagaimanapun, pihaknya tetap menjalankan siasatan selepas terdapat dakwaan yang mengatakan dua buah trak pikap dinaiki suspek ditinggalkan di sempadan Thailand-Malaysia.

Menurutnya, siasatan dijalankan bagi memastikan kumpulan tersebut tidak lolos dan berada di negeri ini.

“Kita tetap menjalankan siasatan walaupun ada dakwaan yang mengatakan trak pikap dinaiki kesemua suspek ditinggal di sempadan negara berkenaan.

“Buat masa ini, polis Kelantan masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Thailand untuk kita membantu menjejaki kesemua suspek di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan memberi kerjasama penuh berhubung kes tersebut sekiranya mendapat maklumat lengkap daripada pihak berkuasa Thailand.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, suasana tenang di sebuah pasar raya di daerah ini pada 5 Oktober lalu bertukar kecoh apabila 10 lelaki berpakaian serba hitam dan bersenjata raifal M16 dan AK104 melepaskan tembakan ketika merompak sebuah kedai emas.

Dalam kejadian terancang pukul 6.30 petang itu, kumpulan perompak tersebut melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM3.11 juta.

Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, kumpulan perompak yang melepaskan tembakan ketika merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta di sebuah kedai emas di Sungai Golok itu berkemungkinan lolos ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |