Tahniah TH harumkan nama negara di pentas antarabangsa – PM

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Pengiktirafan berprestij yang diterima Lembaga Tabung Haji (TH) daripada kerajaan Arab Saudi membuktikan keupayaan Malaysia mengurus kebajikan dan perkhidmatan jemaah haji pada tahap terbaik di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, anugerah yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan serta kebajikan jemaah haji.

Menurutnya, kejayaan berkenaan mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia.

“Alhamdulillah, tahniah kepada TH atas pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Pengiktirafan ini sekali gus mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines yang menerima anugerah “Misk Al-Khitam”.

Katanya, anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan syarikat itu dalam menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim Haji 1447 Hijrah.

Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan institusi dan syarikat Malaysia memiliki keupayaan serta kecekapan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan dan mengharumkan nama negara dalam melayani para tetamu Allah SWT,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia terus mencipta kecemerlangan dalam pengurusan haji apabila merangkul Anugerah Labbaittom bagi tahun kelima berturut-turut yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Malah, bagi musim haji 1447H/2026M, Malaysia sekali lagi menerima pengiktirafan tertinggi kategori Diamond daripada kementerian itu, sekali gus menandakan kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori berprestij berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |