SUV bak pacuan empat roda premium

6 hours ago 5

DALAM dunia kenderaan utiliti sukan (SUV) premium, kemewahan bukan lagi sekadar bergantung kepada lencana tiga bintang penjuru pada model jenama Mercedes-Benz.

Sebaliknya, pengguna hari ini mahukan sebuah kenderaan yang mampu menggabungkan reka bentuk menarik, prestasi meyakinkan dan teknologi moden dalam satu pakej lengkap.

Dari segi luaran, reka bentuk Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC tampil cukup berkarisma tanpa perlu terlalu mencuba untuk menarik perhatian, ia tampil elegan dengan karakter sporty yang cukup terserlah.

Bahagian hadapan dihiasi gril ikonik Mercedez-Benz bersama lampu utama LED yang memberikan wajah lebih moden dan berkarisma.

Model ini yang dipasang secara tempatan (CKD) tampil bergaya dengan pakej AMG Line yang merangkumi bampar lebih agresif dan kemasan sport, ditawarkan pada harga RM329,888 atas jalan raya tanpa insurans.

Namun, GLC 200 menyimpan karakter tersendiri yang hanya benar-benar dapat dirasai apabila pengguna berada di belakang stereng.

Persoalannya, adakah GLC 200 sekadar sebuah SUV mewah untuk dipandang atau mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang sepadan dengan reputasi jenama Eropah itu.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) untuk memandu uji GLC 200 bagi merasai sendiri prestasi SUV ini sebagai kenderaan harian ke pejabat mahupun digunakan untuk mengembara serta menempuh perjalanan jauh.

Dari segi kuasa, model ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 204PS dan 320Nm.

Ciri eksklusif dan minimalis dengan pakej dalaman AMG Line yang menggunakan upholsteri Artico.

Sistem mild-hybrid 48 voltan pula menyuntik tambahan kuasa sebanyak 23PS dan 205Nm dengan keseluruhan kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatic 9G-Tronic sembilan kelajuan.

Dengan kombinasi tersebut, GLC 200 mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 7.8 saat.

Bagi penulis, memandu GLC 200 ini seakan membawa sebuah pacuan empat roda premium kerana model ini turut dilengkapi dengan mod off-road yang amat praktikal untuk digunakan ketika melalui permukaan berlubang atau tidak rata.

Pemijak kaki di bahagian sisi turut disediakan bagi memudahkan pengguna terutama yang bersaiz kecil termasuk-kanak-kanak atau warga emas untuk memasuki kenderaan, selain memberi imej lasak.

Kuasa dihasilkan oleh SUV premium ini memberikan pecutan yang lancar, manakala apabila pedal minyak ditekan terasa responsif ketika diperlukan.

SUV ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang selesa tanpa mengorbankan rasa yakin ketika mengambil selekoh atau menukar lorong.

Di laluan bandar yang sibuk, sterengnya ringan dan mudah dikawal amat sesuai untuk pemanduan harian.

Sebaliknya, apabila dipandu di lebuh raya, karakter SUV ini berubah menjadi lebih stabil dan mantap.

Gabungan berkenaan menjadikan GLC 200 sesuai untuk pengguna yang mahukan sebuah SUV premium serba boleh.

Selain itu, imej SUV yang lebih praktikal turut menjadi antara sebab GLC 200 menjadi pilihan pengguna.

Ruang kabin yang lebih tinggi dan fleksibel pada GLC 200 sebanyak 620 liter memberikan kemudahan kepada keluarga, terutama bagi mereka yang kerap membawa penumpang atau barangan.

Meninjau ruangan kabin, GLC masih menampilkan ciri eksklusif yang minimalis dengan pakej dalaman AMG Line yang menggunakan upholsteri Artico.

Kerusi hadapan hadir dengan pemanas, pelarasan elektrik dan fungsi memori, manakala stereng dibalut kulit Nappa sementara kemasan dalaman menggunakan kombinasi kayu serta konsol tengah bertekstur logam.

Secara kesimpulan pada akhirnya, Mercedes-Benz GLC 200 bukan sekadar sebuah SUV untuk menunjukkan status.

Sebaliknya, ia menawarkan pakej yang lebih lengkap untuk pengguna yang mahukan kemewahan, keselesaan dan prestasi dalam satu kenderaan.

Dengan reka bentuk yang elegan, pemanduan yang meyakinkan serta kabin yang sarat teknologi, GLC 200 berjaya mengekalkan daya tarikannya sebagai SUV premium yang sesuai dengan gaya hidup moden.

Read Entire Article
Pertanian | | | |