Suspek maut, dua cedera dalam insiden amuk di Felda Jengka 2

2 days ago 9

MARAN – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua individu cedera selepas berlaku insiden pergaduhan di Felda Jengka 2, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 pagi itu, suspek dikenali sebagai Hasdi Abdul, 57, dilaporkan mengamuk secara tiba-tiba dan menikam dua mangsa menggunakan sebilah pisau sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada pukul 10.15 pagi yang memaklumkan berlaku kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Felda Jengka 2 di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak ganas apabila menyerang dua individu dengan senjata tajam sehingga mencederakan mereka.

“Mangsa pertama seorang wanita berumur 52 tahun mengalami kesan tikaman sedalam tiga sentimeter di bahagian perut, selain luka pada tangan kanan dan dagu.

“Mangsa kedua, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut cedera di paha kanan akibat tikaman dan telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kebiruan pada mata, selain tangan terikat.

“Pasukan perubatan dari Hospital Jengka mengesahkan kematian suspek di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, susulan kejadian, polis menahan empat lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam pergelutan dengan suspek dan akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut.

Turut dirampas dalam kejadian ialah sebilah pisau yang digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |