Sultan Nazrin rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando

10 hours ago 7

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta di sini hari ini.

Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah dimulakan secara rasmi pada 30 April 2018 sebelum siap sepenuhnya pada 3 Februari 2023 dan diserahkan kepada PDRM pada 4 Mei 2024 dalam satu majlis yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kem berkonsepkan dwi-fungsi itu menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan serta dilengkapi pelbagai prasarana moden bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan operasi dan latihan pasukan 69 Komando.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perasmian Kem Sultan Nazrin Shah melambangkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan negara bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

Menurut beliau, pembinaan kem itu membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

“69 Komando mempunyai sejarah perjuangan yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1969. Sumbangan 69 Komando terbuki melalui pelbagai operasi penting termasuk menentang insurgensi komunis, insiden Al-Maunah pada tahun 2000, Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013 serta penugasan khas negara berkaitan tragedi MH17 pada 2014.

“Pasukan ini juga memainkan peranan penting dalam operasi membanteras keganasan, menyelamatkan tebusan dan menangani ancaman keselamatan berisiko tinggi.

“Setiap kali negara berhadapan ancaman yang menguji kedaulatan dan keselamatan, 69 Komando sentiasa berada di barisan hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kem itu di sini.

Beliau berkata, kerajaan membangunkan Kem Sultan Nazrin Shah sebagai pangkalan utama baharu 69 Komando sebagai menghargai jasa dan pengorbanan warga pasukan elit itu yang telah berkhidmat kepada negara sejak lebih lima dekad lalu.

Katanya, kem yang dibina dengan kos melebihi RM206 juta di atas kawasan seluas 338 hektar itu telah diserahkan kepada PDRM pada tahun 2024 sebagai kompleks operasi, latihan dan pentadbiran yang moden serta komprehensif.

“Ini merupakan pelaburan strategik negara yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan 69 Komando untuk dekad-dekad akan datang.

“Kem Sultan Nazrin Shah bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan generasi pegawai dan anggota 69 Komando,” katanya.

Antara kemudahan yang disediakan ialah Kompleks Latihan Para, fasiliti latihan payung terjun, Close Quarter Battle (CQB) House, lapang sasar tertutup (indoor shooting) serta lapang sasar jarak dekat dan sederhana.

Kem itu turut menempatkan kolam renang taktikal yang digunakan bagi latihan selam, sekali gus melengkapkan keperluan latihan khusus anggota pasukan berkenaan.

Mercu tanda utama Kem Sultan Nazrin Shah ialah lapang sasar 1.2 Kilometer yang merupakan lapang sasar terpanjang di Malaysia.

Kemudahan strategik itu digunakan secara eksklusif bagi latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat (sniper) jarak jauh oleh Pasukan 69 Komando sekali gus memperkukuh keupayaan dan tahap kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan pelbagai operasi berisiko tinggi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |