KETUA Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Komanwel 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz menggesa semua atlet mengurangkan penggunaan media sosial sepanjang berada di Glasgow bagi memastikan tumpuan tidak terganggu dalam misi memburu sasaran lima pingat emas yang ditetapkan.
Menurut Awalan, atlet perlu memberi keutamaan sepenuhnya kepada kejohanan dan mengetepikan seketika gangguan luar kerana fokus menjadi elemen penting untuk memastikan prestasi terbaik dapat dipamerkan di temasya berkenaan.
“Saya setuju dengan itu, kurangkan penggunaan media sosial. Jangan duduk menghadap telefon memanjang. Dia kena switch off sekejap sepanjang berada di temasya Sukan Komanwel nanti,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat sasaran lima emas, dua perak dan empat gangsa (5-2-4) yang diumumkan pada Khamis lalu akan memberi tekanan tambahan kepada atlet, termasuk mereka yang hanya akan memulakan saingan pada penghujung temasya.
“Kalau yang bertanding awal dah capai sasaran terbaik, yang bertanding lewat pun akan rasa seronok. Ia bukan satu tekanan tambahan kepada mereka,” jelasnya.
Awalan berkata, setiap atlet sebenarnya sudah mempunyai sasaran tersendiri yang ditetapkan bersama jurulatih masing-masing, justeru mereka lebih tertumpu kepada objektif peribadi berbanding memikirkan sasaran keseluruhan kontinjen.
“Sebab bila saya bercakap dengan atlet dan jurulatih, mereka ada sasaran peribadi mereka sendiri untuk capai. Kalau dia sasar emas, emaslah. Kalau dia sasar perak, peraklah. Kalau gangsa, gangsalah,” katanya.
Sebagai rekod, daripada tujuh pingat emas yang diraih Malaysia di Birmingham empat tahun lalu, empat daripadanya tidak lagi boleh dipertahankan kerana acara berkenaan tidak dipertandingkan di Glasgow, termasuk badminton dan gimnastik berirama yang menyumbang emas pada edisi terdahulu.

15 hours ago
6
















































