PETALING JAYA – Tindakan seorang suami yang sentiasa peka membelikan barangan keperluan anak tanpa perlu disuruh menyentuh hati pengguna media sosial terutamanya golongan wanita.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Kaunselor Yana, dia meluahkan rasa syukur atas sikap suaminya yang disifatkan mengambil berat dan meringankan beban emosi seorang isteri.
Menurutnya, suaminya sentiasa memantau baki barangan keperluan anak seperti susu dan lampin pakai buang serta bertindak membelinya lebih awal.
“Kami tak hidup mewah tapi ini antara ‘love language’ suami saya. Dia belikan semua ini tanpa saya perlu ingatkan. Tak tunggu saya cakap susu anak dah nak habis, tak tunggu pampers tinggal sikit baru nak beli. Dia perhati, dia ambil tahu.
“Barang yang memang kami biasa guna, dia akan bandingkan harga, bandingkan tawaran murah dekat dalam talian dan terus beli bila nampak berbaloi. Bila barang sampai, dia angkat masuk, susun elok-elok dan kemaskan sekali,” katanya.
Jelasnya lagi, tindakan seorang suami seperti itu sebenarnya memberikan impak yang sangat besar buat emosi seorang isteri yang sering memikirkan pengurusan harian rumah.
“Nampak macam benda kecil, tapi sebenarnya sangat besar untuk seorang isteri dan ibu. Sebab ramai suami ingat membantu itu bila isteri dah suruh, bila isteri dah terangkan, atau bila isteri dah penat mengarah satu-satu.
“Sedangkan kadang-kadang yang memenatkan seorang isteri bukan kerja itu sendiri, tetapi mental load (bebanan berfikir). Bila ada suami ambil sebahagian beban itu atas inisiatif sendiri tanpa perlu disuruh, isteri rasa sangat disayangi dan tidak keseorangan menguruskan hidup ini,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna terutamanya golongan wanita bersetuju dan menyifatkan sikap keprihatinan seorang lelaki adalah satu kemewahan yang amat dihargai dalam perkahwinan.
“Sikap memerhati dan ambil tahu itu sangat ‘mahal’ nilainya buat isteri. Sekurang-kurangnya kurang satu benda dalam otak yang perlu difikirkan,” kata Tykayurika.
“Sama! Suami saya pun sama kalau dia tahu saya penat, dia akan tolong masak, lipatkan baju, kemas rumah tanpa perlu disuruh pun,” jelas Faatindhahir pula. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2






![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)






































