PETALING JAYA – Semua kerja pembinaan dihentikan serta-merta bagi melindungi keselamatan orang awam, susulan insiden keruntuhan struktur sementara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), hari ini.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam satu kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 2 petang itu melibatkan keruntuhan struktur sementara jenis ‘temporary steel canopy’ yang digunakan bagi kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) 16 sebelum menimpa sebuah kereta Suzuki Swift milik orang awam.
Menurut kenyataan itu, MRL kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa serta pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi menyiasat punca kejadian.
MRL memaklumkan bahawa pemilik kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.
“Kerja-kerja pembukaan struktur sementara dan pembersihan kawasan insiden sedang dijalankan dengan segera.
“Siasatan awal oleh jurutera ECRL mendapati struktur kekal RUB 16 berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak terjejas akibat insiden ini,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, struktur ‘temporary steel canopy’ itu sebelum ini dibina sebagai perlindungan bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya serta memudahkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan RUB 16.
MRL menjelaskan bahawa pembinaan RUB 16 telah berjaya disempurnakan pada Oktober lalu dan pihak berkuasa telah memberikan kelulusan untuk kerja-kerja pembukaan struktur sementara tersebut bermula 20 November ini.
“Pihak ECRL akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung insiden ini. MRL turut merakamkan permohonan maaf dan menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan para pekerja projek adalah keutamaan kami,” ujarnya.
MRL dalam kenyataan sama mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati serta mematuhi papan tanda trafik dan arahan pihak berkuasa di kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
4














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































