SPR serah peruntukan RM100,000 kepada SMKA Segamat

1 day ago 8

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor, menerusi inisiatif Program Sekolah Angkat Madani 2025.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, program tersebut dilaksanakan susulan peluncuran peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu.

Menurutnya, semasa mesyuarat bersama SPR pada Mei lalu, pihak sekolah bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengutarakan pelbagai keperluan melibatkan aspek infrastruktur fizikal, ICT serta pembangunan guru dan pelajar.

“Berdasarkan peruntukan disediakan, SPR meluluskan beberapa program utama meliputi empat komponen iaitu pembangunan kurikulum menerusi Program Akademik Pelajar SPM/STPM dan Program Menuju STEM berjumlah RM31,000.

“Seterusnya, pembangunan sahsiah dan kokurikulum merangkumi kem kepimpinan dan program penghayatan hadis dengan jumlah RM12,000 serta pembangunan profesionalisme guru meliputi program latihan dalam perkhidmatan LADAP Digital berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara lain ialah keperluan ICT iaitu pembekalan dua unit papan putih interaktif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan 50 unit komputer tablet untuk kegunaan pelajar dengan jumlah RM52,000.

Katanya, program itu diharapkan menjadi pemangkin dalam peningkatan penyampaian pendidikan berkualiti, inklusif dan progresif, selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan berdaya saing, berpengetahuan dan berakhlak mulia.

“Melalui peruntukan yang disalurkan, warga sekolah bukan sahaja dapat menikmati kemudahan pembelajaran lebih moden dan interaktif, malah berpeluang meningkatkan tahap pencapaian akademik serta sahsiah diri.

“Pelaksanaan program ini menzahirkan tanggungjawab sosial dan komitmen SPR untuk terus berganding bahu dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem pendidikan negara yang mampan dan holistik,” katanya.

Majlis penyerahan peruntukan itu berlangsung di SMKA Segamat hari ini serta disampaikan oleh Khairul Shahril kepada Pengetua, Mohd. Salleh Mohd. Noor dengan simbolik penyerahan cek cura. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |