KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melaungkan amaran awal apabila mahu menempah tiga final dalam aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang berlangsung pada 16 hingga 23 Mei ini di Stadium Titiwangsa.
Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, status sebagai tuan rumah harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain negara untuk membuktikan dominasi Malaysia dalam acara regu, kuadran dan berpasukan.
Beliau juga berharap barisan pemain negara meneruskan momentum kejayaan dalam acara regu dan berpasukan pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.
“Saya yakin sekurang-kurangnya kita boleh melangkah ke final bagi ketiga-tiga acara tersebut. Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mahu sasarkan juara bagi acara regu dan berpasukan.
“Saya tahu bukan satu perkara mudah untuk mengekalkan kejuaraan, ia sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan kali ini,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu skuad kebangsaan, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Sumali tidak berselindung mengenai kebimbangannya terhadap acara kuadran yang dilihat masih menjadi ‘titik lemah’ buat skuad negara berbanding pencabar luar.
Jelasnya, dia telah mengarahkan barisan kejurulatihan untuk memperkemaskan aspek teknikal, terutamanya melibatkan taktikal hadangan tiga pemain serta variasi pukulan oleh killer.
“Negara luar seperti India, Korea dan Jepun memang fokus pada kuadran. Kita mendapati pemain kita masih agak kekok dengan sistem blocking tiga orang. Sebelum kejohanan bermula, aspek ini perlu diperbaiki segera agar kita mampu memberi tekanan semula kepada lawan,” ujarnya.
Dalam acara regu, Malaysia yang turun selaku juara bertahan diundi dalam Kumpulan A, bersama Jepun dan Singapura manakala regu berpasukan skuad negara dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar.
Acara kuadran pula menyaksikan skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama India dan Korea Selatan dan Singapura. -KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3















































