PETALING JAYA – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyambut baik pengumuman Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berhubung pelaksanaan dua skim pembiayaan sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon menyifatkan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (Barakat) dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (Berkat) sebagai satu intervensi bersasar yang tepat pada masanya.
Katanya, inisiatif itu menyediakan akses pembiayaan mikro yang lebih pantas, mudah dan responsif khususnya bagi membantu usahawan mikro menampung keperluan modal kerja jangka pendek ketika musim permintaan tinggi, selain memberi manfaat langsung kepada ahli-ahli DPMM di peringkat komuniti perniagaan.
“Dalam konteks yang lebih luas, akses kepada pembiayaan mikro yang tepat pada masanya merupakan faktor kritikal bagi memastikan peluang ekonomi di peringkat komuniti niaga dapat dimanfaatkan secara optimum.
“DPMM amat gembira kerana maklum balas serta dapatan lapangan DPMM yang dibawa melalui inisiatif Gerakan Ekoniaga Madani (Gema)telah diberi perhatian dan didengari oleh YB Menteri Kuskop dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataam.
Pada masa sama, pihaknya turut memuji komitmen Kuskop dalam mempercepatkan kelulusan permohonan pembiayaan serta memudahkan keperluan birokrasi, termasuk sasaran tempoh kelulusan antara lima hingga tujuh hari berbanding 30 hingga 40 hari sebelum ini.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dilaporkan berkata, Pembiayaan Skim Barakat berjumlah RM50 juta itu adalah untuk usahawan mikro yang akan menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan, manakala Program Pembiayaan Khas Berkat berjumlah RM30 juta untuk golongan sasar sama dalam masyarakat Cina.
Steven berkata, usahawan berminat boleh memohon mendapatkan pembiayaan sehingga RM30,000 itu bermula serta-merta.
Sementara itu, Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) turut merakamkan penghargaan kepada Steven atas pengumuman dua program pembiayaan khas melalui TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.
Menurut GPPPKMM, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa penjaja dan peniaga kecil sebagai tulang belakang ekonomi rakyat.
Selain itu, pihaknya berharap pelaksanaannya dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan inklusif demi memastikan manfaatnya dinikmati semua peniaga kecil. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

















































