Siti Nurhaliza ringankan beban, bantu mangsa kebakaran paip gas

1 day ago 5

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa simpati sekali gus meluahkan hasrat untuk menyalurkan sumbangan terhadap mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Height baru-baru ini.

Mengakui terkejut dengan kejadian yang berlaku, Siti, 46, berkata, dia masih belum berpeluang melawat mangsa yang terlibat, namun pertubuhan naungannya iaitu Yayasan Nurjiwa mengambil maklum mengenai tragedi tersebut.

“Saya pun ambil tahu juga tentang tragedi yang berlaku di Putra Height baru-baru ini dan dapat tahu juga daripada kenalan cuma tak berpeluang lagi nak ke sana.

“Jadi saya banyak bertanya khabar dan baca banyak laporan berita tentang insiden itu. Yayasan kami akan ambil maklum perkara yang melibatkan tragedi tersebut.

“Semua pun masih lagi bercuti hari raya dan insya-Allah Isnin nanti (esok) semuanya akan mula bertugas seperti biasa,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sambutan Siti Nurhaliza 30th Anniversary di sini, hari ini.

Tambah Siti, bantuan yang mahu dihulurkan itu diharap dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa terlibat selepas kehilangan banyak harta benda.

Dia bagaimanapun berasa lega kerana tragedi tersebut tidak meragut nyawa mana-mana individu khususnya penduduk di kawasan terlibat.

“Kami akan lihat apa yang boleh lakukan untuk ringankan beban mangsa terlibat.

“Saya memang tak sangka letupan tersebut jadi sebegitu sekali tapi paling penting tidak mengorbankan sebarang nyawa dan kebanyakannya melibatkan harta benda.

“Jadi, insya-Allah rakyat Malaysia sangat prihatin dan akan cuba untuk meringankan kesusahan mereka. Mungkin akan ada gabungan dan kerjasama dengan pihak lain.

Selasa laku, negara dikejutkan dengan letupan paip gas milik Petronas sepanjang 500 meter di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri.

Tragedi tersebut menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain kemusnahan tempat tinggal, mangsa yang terlibat turut mengalami kerugian harta benda lain termasuk terdapat kenderaan yang mengalami kerosakan teruk. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |