KLANG – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mengorak langkah memperluaskan E-Metro Logistics Park di Bandar Bukit Raja, di sini menerusi pembinaan dua kemudahan logistik Gred A baharu.
Kerjasama dengan pengurusan aset hartanah, ESR itu meliputi Metrohub 4 dan Metrohub 3, yang menambah lebih 2.2 juta kaki persegi ruang gudang kepada salah satu koridor logistik strategik terbaik di negara ini.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, E-Metro Logistics Park merupakan komponen penting dalam ekosistem perindustrian dan logistik di Bandar Bukit Raja, yang juga antara perbandaran perindustrian utamanya di Selangor.
Jelas beliau, pembangunan itu dapat direalisasikan hasil sokongan pelabur institusi dalam Dana Pembangunan Industri sulung pihaknya yang bernilai RM1 bilion.
“Apabila kedua-dua Metrohub siap sepenuhnya kelak, portfolio hab logistik ini akan melebihi 4.2 juta kaki persegi ruang gudang moden.
“Ini sekali gus memperkukuhkan portfolio kami ke arah kemudahan logistik berteknologi tinggi bertaraf institusi yang disasarkan kepada syarikat multinasional,” katanya hari ini.
Mohd. Zary (tengah) melihat model E-Metro Logistics Park yang bakal menempatkan ruang gudang moden seluas lebih 4.2 juta kaki persegi menerusi penambahan Metrohub 3 dan 4.Majlis perasmian Metro Hub 4 dan pecah tanah Metro Hub 3 itu disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd. Zary Affendi Mohd. Arif dengan turut dihadiri Ketua ESR Malaysia, David Aboud dan Ketua Pegawai Operasi, Pelaburan dan Pengurusan Dana, Sime Darby Property, Aurelia Lee.
Dua fasa pertama pembangunan iaitu Metrohub 1 dan Metrohub 2 telah mencapai kadar penghunian penuh oleh pelanggan daripada sektor e-dagang, logistik pihak ketiga dan rantaian bekalan.
Berkeluasan kira-kira 1.38 juta kaki persegi, Metrohub 4 merupakan gudang siap bina pelbagai penyewa terbesar, manakala Metrohub 3 yang dijadualkan siap pada suku ketiga tahun depan meliputi dua blok gudang seluas kira-kira 840,000 kaki persegi.
Sementara itu, David berkata, pihaknya telah beroperasi di negara ini sejak 2021 dan mengambil pendekatan jangka panjang dalam mengenal pasti lokasi tumpuan permintaan logistik serta keperluan pada masa depan.
“Menerusi usahasama ini, kami merealisasikan keyakinan itu dengan pembangunan aset logistik moden di lokasi strategik dan dibina bagi memenuhi keperluan pelanggan.
“Penghunian penuh Metrohub 1 dan 2 bersama komitmen awal pelanggan di Metrohub 4 membuktikan kekuatan kerjasama itu dalam memberi penyelesaian logistik terbaik,” katanya.
Dua Metrohub terbaharu itu turut menyasarkan pensijilan LEED Gold dengan menyediakan pelbagai ciri mesra alam seperti kemudahan penjanaan tenaga solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), lampu LED dan kelengkapan cekap penggunaan air.
Kemudahan itu turut mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna seperti kafeteria pekerja, ruang rehat pemandu dan pengasingan laluan kenderaan berat serta ringan. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
3

















































