SEMANGAT persahabatan dan minat yang mendalam terhadap dunia permotoran merupakan penggerak utama buat kelab motosikal dalam menganjurkan aktiviti konvoi.
Membawa semangat itu, sekumpulan pemilik motosikal CFMOTO 675SR-R menyertai konvoi ke Bike Week Terengganu yang berlangsung baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Group Geng Central 675SR-R, konvoi selama tiga hari dua malam itu bukan sekadar memenuhi minat terhadap motosikal, malah menjadi medan mengeratkan silaturahim serta mencipta pelbagai kenangan manis sepanjang perjalanan.
Menurut ketua konvoi, Muhammad Zulfakar Ism, aktiviti itu menghimpunkan seramai 15 penunggang dari pelbagai negeri.
“Seawal pukul 6 pagi, semua peserta berkumpul di stesen minyak BHP Gombak, Selangor sebelum memulakan perjalanan.
“Selepas menunaikan solat subuh secara berjemaah dan melakukan pemeriksaan terakhir terhadap motosikal masing-masing, kami memulakan perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dengan penuh keterujaan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa secara dalam talian baru-baru ini.
Tambah Muhammad Zulfakar, walaupun perjalanan jauh memerlukan tahap disiplin dan fokus yang tinggi, semangat berpasukan jelas terserlah apabila setiap ahli saling membantu dan memastikan semua dapat bergerak bersama.
Sepanjang perjalanan, pelbagai cabaran tidak dijangka berlaku. Antaranya kamera GoPro milik seorang peserta yang dikenali sebagai Mar tercicir di tengah perjalanan sekali gus menjadi antara insiden yang sukar dilupakan.
PESERTA konvoi menikmati makan malam bersama-sama.Selain itu, motosikal milik seorang lagi peserta mengalami masalah kehabisan bateri, manakala tayar motosikal Qiddin pula dimasuki skru sehingga memerlukan pembaikian segera.
Kongsi Muhammad Zulfakar lagi, lebih mencabar apabila motosikalnya mengalami tayar bocor yang agak besar.
Walaupun tayar berjaya dibaiki menggunakan cacing tayar, ia masih mengalami kebocoran halus.
“Namun, dengan kerjasama semua peserta, setiap masalah berjaya diatasi tanpa menjejaskan semangat konvoi,” ujarnya.
Rombongan tiba di Kuala Terengganu sekitar pukul 12 tengah hari sebelum menikmati makan tengah hari di sebuah restoran terkenal dengan hidangan siakap goreng tepung.
Selepas mendaftar masuk ke inap desa untuk penginapan selama tiga hari dua malam, peserta mengambil peluang berehat sebelum meneruskan aktiviti pada sebelah malam dengan menikmati makan malam di Restoran Tomyam Noraini yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Katanya lagi, sepanjang berada di Terengganu, peserta tidak melepaskan peluang mengunjungi beberapa lokasi ikonik negeri itu.
Antaranya Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda pelancongan, Pantai Batu Buruk yang terkenal dengan panorama indah, Pantai Seberang Takir, Pantai Teluk Ketapang, Jambatan Angkat Kuala Terengganu serta bersiar-siar mengelilingi bandar Kuala Terengganu.
“Sarapan pagi di Pantai Batu Buruk sambil menikmati suasana damai pantai menjadi antara pengalaman yang paling dikenang, manakala waktu petang pula dihabiskan bersantai di Pantai Seberang Takir sebelum menikmati makan malam di kawasan Pantai Teluk Ketapang.
“Kemuncak konvoi sudah tentunya apabila semua peserta menghadiri Bike Week Terengganu,” tambah Muhammad Zulfakar
AKSI para peserta sewaktu berkonvoi menuju ke Bike Week Terengganu.Ujarnya lagi, semua peserta konvoi meluangkan masa dari tengah hari hingga petang untuk mengunjungi pelbagai reruai pameran, melihat aksesori motosikal terkini serta beramah mesra dengan komuniti permotoran dari seluruh negara.
Lebih menggembirakan, ramai peserta membawa pulang pelbagai cenderamata dan hadiah daripada penganjur serta pempamer seperti baju-T, pelincir rantai, penyembur pencuci rantai, rantai kunci dan pelbagai barangan menarik yang disediakan di setiap reruai.
Pada hari terakhir, peserta mendaftar keluar dari homestay sekitar pukul 12 tengah hari sebelum menikmati makan tengah hari dengan hidangan nasi dagang, makanan tradisi yang menjadi kebanggaan Terengganu.
Kongsinya, tepat pukul 1.30 petang, konvoi memulakan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
“Ada peserta yang tiba di Kuala Lumpur pada lewat petang, manakala mereka yang berasal dari negeri lebih jauh seperti Melaka hanya selamat tiba di rumah pada waktu malam.
Walaupun berdepan beberapa ujian sepanjang perjalanan, konvoi ini membuktikan bahawa semangat setiakawan, sikap saling membantu dan minat yang sama terhadap dunia permotoran mampu menyatukan semua peserta,” katanya.
Ujarnya lagi, bagi ahli Group Geng Central 675SR-R, pengalaman ke Bike Week Terengganu bukan sekadar sebuah perjalanan bermotosikal, sebaliknya satu kenangan yang akan terus dikenang dan menjadi inspirasi untuk lebih banyak konvoi pada masa hadapan.

15 hours ago
9
















































