Setahun tak cukup selesai segala isu

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN mengakui adalah tidak mencukupi untuk menyelesaikan segala perkara berkait dengan isu rantau ini dalam tempoh setahun sepanjang memegang ‘kerusi’ berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap pengerusi sebelum ini termasuk Laos, Indonesia dan lain-lain negara anggota telah meletakkan asas kukuh untuk membina ASEAN bersama.

“Malaysia telah meneruskan perjalanan penting dengan menambah ‘batu bata’ baharu kepada struktur yang menjadi milik kita semua.
“Namun kita harus mengakui, kita tidak mampu melakukan keajaiban. Yang penting ialah kesinambungan untuk meneruskan misi membina legasi mampan bagi Komuniti ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Upacara Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus kepada Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Penyerahan Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus itu adalah kepada Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilbert Teodoro.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia memberi sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Filipina sebagai Pengerusi ADDM dan ADMM-Plus tahun depan.

“Kita menyerahkan tanggungjawab kepada rakan kita Filipina. Kita yakin sepenuhnya bahawa Filipina akan terus memimpin dengan semangat dedikasi, integriti dan perpaduan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Malaysia memegang jawatan pengerusi, sebanyak 25 inisiatif penting ditandatangani dan diterima pakai sekali gus jumlah terbesar dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.

“Kita telah menghimpunkan sekitar 603 delegasi daripada 19 negara, satu himpunan berpengaruh terdiri daripada pelbagai idea, budaya dan perspektif.

“Dari peringkat perbincangan kerja sehinggalah mesyuarat pegawai kanan dan mesyuarat menteri pada minggu ini, kerjasama kita bersifat mendalam, bermakna, dan memberi inspirasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |