Semangat survival faktor utama Jaslinda mampu bertahan 2 minggu

6 hours ago 6

TAPAH – Semangat survival yang tinggi dipercayai menjadi faktor utama membolehkan Jaslinda Saludin, 49, bertahan selama 14 hari selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berpandangan, mangsa mempunyai keinginan tinggi dan keazaman yang kuat untuk terus keluar dari kawasan hutan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Ini bukan soal kemahiran semata-mata, tetapi semangat untuk terus keluar dan meneruskan survival dalam dirinya yang sangat kuat.

“Berdasarkan jangkaan, dia akan ikut laluan sungai dan itu antara faktor yang membolehkan dia terus bertahan.

“Jika berada jauh daripada sumber air, kemungkinan untuk terus hidup menjadi lebih sukar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah, di sini hari ini.

Menurut Muzafar, sepanjang operasi pencarian, kawasan lokasi mangsa ditemui sebenarnya berada dalam zon yang telah diberi perhatian oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun katanya, laluan berkenaan amat mencabar kerana dipenuhi lembah, sungai dan air terjun sehingga menyukarkan pasukan malim gunung untuk menjejakinya.

“Alhamdulillah, Jaslinda telah ditemui selamat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Muzafar menasihatkan orang ramai yang tersesat di dalam hutan supaya tidak bergerak terlalu jauh dari laluan asal bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan kedudukan mereka.

“Pada peringkat awal kehilangan, pasukan mencari akan menumpukan pencarian di sekitar trek sedia ada. Jika mangsa terus bergerak semakin jauh, usaha mengesan mereka akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengamalkan sistem berpasangan atau ‘buddy system’ dalam setiap aktiviti rekreasi di kawasan hutan.

“Apabila berada di alam semula jadi, kita meletakkan keselamatan diri sepenuhnya kepada ihsan alam.

“Peluang untuk terus selamat juga bergantung kepada rakan yang dapat membantu atau mendapatkan bantuan ketika berlaku kecemasan. Jadi, setiap aktiviti rekreasi wajar dilakukan secara berteman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |