MENONTON lakonannya, ramai menyangka aktor Tionghua, Andy Teh merupakan lelaki berbangsa Melayu kerana fasih melontarkan dialog secara bersahaja.
Hampir sedekad beraksi dalam drama dan beberapa tahun kebelakangan ini kerap disambar penerbit filem, figura seni kelahiran Klang, Selangor itu semakin disenangi ramai.
Namun, siapa sangka di sebalik populariti diraih, Andy atau nama lengkapnya Andy Teh Kim Huat mengakui pernah dimarahi pengarah disebabkan pelat berbahasa kebangsaan pada awal pembabitan dalam dunia lakonan.
Pelat
Enggan ambil hati mahupun menyerah kalah, dia berusaha memperbaiki pertuturannya sehingga dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.
“Sejujurnya saya juga mempunyai kelemahan dalam penguasaan bahasa Melayu sampai ditegur pengarah di set penggambaran sebuah drama.
“Saya akui kekurangan itu dan cari jalan untuk belajar supaya fasih. Kalau bukan kerana teguran tersebut mungkin sampai hari ini saya tiada di sini. Bukan jadi pelakon, sebaliknya bekerja dalam bidang lain.
“Antara yang banyak membantu adalah penolong pengarah drama itu, Iqbal yang minta saya tonton drama Melayu untuk belajar bertutur selain banyak berkomunikasi dengan orang lain,” katanya.
Walaupun mengambil masa untuk fasih, pelakon filem Blood Brothers itu berterima kasih kerana penguasaan bahasa Melayu membuka peluang lebih luas kepadanya untuk terlibat dalam pelbagai projek.
Cabar diri
Akui Andy, penguasaan bahasa bukan sekadar memberi nilai tambah terhadap kerjaya lakonan, malah semakin meluaskan lagi pergaulan di luar set.
“Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu saya. Bukanlah bermakna dulu saya tak pandai cakap Melayu, cuma kurang lancar serta mempunyai pemilihan kosa kata yang terhad.
“Ada juga dulu rasa rendah diri sebab takut salah bual, iyalah kita tak fasih sangat. Sekarang kiranya saya dah ‘master’ berbahasa Melayu dan sebagai rakyat Malaysia saya bangga boleh bertutur banyak bahasa,” ujarnya.
Pada masa sama, Andy yang mula terjun ke arena lakonan sekitar 2019 pernah dipertanggungjawabkan memegang watak sebagai Dr. Norman Arif dalam drama I-Tanggang: Mother Of All Lies pada 2021.
Sebelum itu dia juga pernah mewarnai filem aksi Sangkar serta Wira sekali gus meletakkannya sebagai antara aktor Tionghua yang mempunyai kelompok peminat tegar.
Mengakui sentiasa mencabar diri dengan sedia menyambut tawaran membintangi produksi pelbagai genre, Andy yang menjadi teraju utama filem Abah Saya, Uncle Mike yakin usaha jitu mampu membuahkan hasil positif.
“Saya suka membuktikan mampu melakukan perkara yang mustahil. Bagi saya tiada yang mustahil dalam hidup, jika berusaha pasti jadi.
“Harapnya perjalanan kerjaya seni saya dipermudahkan dan lancar serta mampu menggalas banyak karakter
lain,” tutupnya.

18 hours ago
9









![[VIDEO] Tiba-tiba salam, selit RM50](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rider-RM50.jpeg)


![[VIDEO] Selamba angkut kabel di tepi jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/curi-kabel.jpeg)
































