PETALING JAYA – Dengan sekali lafaz, pelakon Nurel Baharin, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Esmeer Mansor dalam majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah kelab golf di Kuching, Sarawak, pukul 8 pagi tadi.
Nurel atau nama lengkapnya, Nurelyana Baharin, 23, berkata, perasaannya berdebar menjelang hari pernikahan namun bersyukur apabila urusan pada hari bahagia mereka dilancarkan.
“Sejak minggu lalu saya memang rasa gementar. Saya risau memikirkan persiapan majlis, selain keluarga dan rakan-rakan dari Semenanjung yang datang.
“Saya fikir sama ada semuanya berjalan lancar atau tidak. Alhamdulillah, selepas selesai akad nikah, saya dapat berjumpa semua tetamu dan majlis berlangsung dengan baik,” katanya menerusi menyatakan media.
Bertemakan English Wedding, pelakon filem Kacau yang menggayakan persalinan serba putih sedondon dengan suaminya dinikahkan serta mas kahwin berupa wang tunai sebanyak RM300.
Berkongsi lanjut mengenai kelebihan Esmeer, Nurel berkata, kesungguhan teman hidupnya itu untuk membina rumah tangga termasuk berani bertemu keluarganya antara kriteria yang menawan hatinya.
“Esmeer menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan saya isterinya. Dia tidak teragak-agak bertemu keluarga dan terus merancang segala-galanya selepas mendapat lampu hijau.
“Dia juga seorang yang matang dan memenuhi segala kriteria suami pilihan saya,” ujarnya.
Menurut Nurel lagi, dia teruja memulakan fasa baharu sebagai isteri sambil meneruskan kerjaya seni menerusi sokongan suami yang memahami minatnya dalam arena lakonan.
“Esmeer tidak pernah menghalang saya untuk terus berkarya. Saya percaya setiap rezeki sudah diatur Allah, termasuk rezeki selepas berkahwin.
Saya juga berharap peminat terus menyokong kerjaya saya dan sudi berkongsi nasihat dalam melayari alam rumah tangga,” katanya.
Majlis istimewa itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis seperti Zarif Ghazzi, Aizat Saha, Farees Asri serta Aniq Suhair.
Terdahulu, hubungan pasangan itu semakin serius selepas setahun berkawan sebelum acara merisik diadakan pada November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
5

![[VIDEO] Kedutaan Itali mohon maaf, remaja biadab dalam tren di Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-25-at-21.49.25.jpeg)














































