‘Sebelum ini ingat seram, rupanya yang ada cuma hormat’

14 hours ago 8

PETALING JAYA – Seorang lelaki bukan Islam mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman pertamanya melihat ibadah korban di sebuah masjid sempena Aidiladha, sekali gus mengubah persepsinya terhadap suasana penyembelihan haiwan korban.

Menerusi hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @digimon_lfs, dia mengakui sebelum ini menyangka suasana korban menyeramkan, namun apa yang dilihat ternyata jauh berbeza.

“Saya seorang Cina je dekat situ. Pagi tadi pergi tengok korban. Nasib baik sampai awal, dapat tengok depan mata.

“Cuma berdiri luar, hormat ruang masjid. Yang nampak cuma gotong-royong, sistem kemas dan hormat,” tulisnya.

Menurut lelaki itu, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih memahami semangat kerjasama dan nilai hormat-menghormati yang diterapkan dalam ibadah korban.

“Sebelum ni ingat seram. Rupanya yang ada cuma hormat,” katanya lagi.

Hantaran tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang menyambut baik sikap terbuka lelaki berkenaan untuk memahami budaya dan amalan masyarakat Islam.

Rata-rata netizen menjelaskan bahawa orang bukan Islam sememangnya dibenarkan hadir melihat proses korban selagi menjaga adab serta menghormati kawasan masjid.

Seorang pengguna dikenali sebagai @Irrosham berkata, orang ramai boleh memasuki kawasan masjid dan melihat dengan lebih dekat sekiranya berpakaian sopan.

“Cuma jaga jarak dan beri ruang kepada petugas, terutama ketika hendak menumbangkan lembu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @69.hezryhashim, memaklumkan kebanyakan masjid juga mengalu-alukan kehadiran tetamu termasuk menyediakan jamuan kepada orang ramai selepas selesai gotong-royong korban.

“Tak ada yang menyeramkan pun.Bukannya kita buat pemujaan. Sama je seperti sembeli haiwan biasa, bezanya manual dan banyak amatur. Melapah setahun sekali. Pisau pun setahun sekali beli baru sebab tahun lepas tak jumpa letak mana haha. Lepas gotong-royong boleh makan,” komennya.

Dalam pada itu, ada juga pengguna memaklumkan tempoh ibadah korban masih berlangsung sehingga hari raya keempat, sekali gus mengajak orang ramai yang berminat untuk hadir melihat sendiri suasana korban di masjid. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |