PETALING JAYA – Niat seorang pemuda mahu membawa ibu bapa menunaikan haji terbantut, apabila dia didakwa ditipu oleh ‘scammer’ tiga segi berkait urusan jual beli emas sekali gus kerugian RM6,594.
Menerusi hantaran pengguna Facebook Madi Rizal, dia berkongsi tangkap layar perbualan pada WhatsApp bersama individu ‘scammer’ tersebut dan selepas wang dipindahkan, lelaki itu menyedari ditipu apabila disekat pada aplikasi itu.
“Allah sahaja tahu perasaannya. Hancur hati terduduk saya dibuatnya. Hati-hati buat yang lain dengan nombor scammer ni. Kejadian malam tadi membuatkan saya terdiam seribu bahasa kerana saya baru sahaja memulakan perniagaan ni dengan niat dapat bawa ibu ayah menunaikan haji dan saya ingin berkahwin.
“Hancurnya hati, buat si penipu dan penipu yang lain. Saya takkan maafkan awak. Allah itu ada. Hari ni awak khianat saya,” katanya pada hantaran tersebut.
Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Facebook, malah mereka turut menjelaskan mengenai penipuan ‘scammer’ tiga segi ekoran taktik itu agak rumit serta ramai yang tidak memahaminya.
“Penipuan tiga segi ke ni? Pembeli ‘deal’ dengan scammer. Scammer ‘deal’ dengan pemilik emas (penjual). Scammer ‘deal’ jumpakan dua-dua pihak pada satu tempat. Pembeli dan penjual berjumpa.
“Scammer suruh masukkan duit ke akaun milik scammer. Pembeli dah masukkan ke akaun scammer. Tapi penjual tak lepaskan emas sebab bukan masuk ke akaun penjual. Jadi scammer dapat duit percuma, pembeli yang merana,” kata Rashidah Rashidi.
“Ni tiga serangkai. Pembeli, penjual dan scammer. Pembeli beli, scammer dapat duit, penjual serah barang. Bila scammer dah dapat duit, penjual tak terima duit, penjual tak bagi emas. Pembeli terduduk.
“Kasihan pembeli, tak apa ada rezeki lain. Berat timbangan kat akhirat. Sabar dan reda insya-Allah diganti yang baik,” kata Mohd. Safwan.
Dalam masa sama, ada juga pengguna Facebook mendakwa pernah ditipu dengan taktik tersebut serta kerugian puluhan ribu ringgit.
“Binatang ni guna ayat sama saja. Saya kena macam ni lah RM30,000. Dia guna akaun keldai, kita pun tak tahu berapa ramai depa ni,” komen seorang individu. – KOSMO! ONLINE