NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan dijangka bebas dari Penjara Wilayah Narathiwat di sini pada 7 Mei depan.
Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya belum menerima rayuan kedua daripada Pendakwa Raya Wilayah selepas memfailkan rayuan kali pertama pada 2 April lalu.
Menurutnya, pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan lima lagi rakyat Malaysia daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
“Kami tidak menerima rayuan kali kedua daripada pihak pendakwaan sehingga hari ini. Jadi, perlu tunggu pada 1, 2 atau 5 Mei depan.
“Sekrianya tiada sebarang permohonan (daripada pendakwa raya) sehingga waktu pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei, maka mereka akan dibebaskan,” katanya.
Jurucakap mahkamah itu turut memberitahu, pihak pendakwa raya diberi tiga peluang untuk membuat permohonan lanjutan tempoh memfailkan rayuan melibatkan kes dadah dan kes berkaitan keselamatan lain.
Katanya, setakat ini pihak pendakwa raya telah menggunakan satu peluang untuk memfailkan rayuan bagi kes itu dan tempoh tersebut berakhir pada 6 Mei depan.
“Kebiasaannya, pejabat pendakwa raya akan memfailkan rayuan kedua dalam jangka masa dua atau tiga hari sebelum tempoh reman tamat. Jika rayuan kali kedua dibuat, tempoh tahanan reman akan ditambah lagi sebulan iaitu sehingga 6 Jun.
“Apabila ada rayuan ketiga selepas ini, maka tempoh tahanan reman ditambah lagi sebulan sehingga 6 Julai,” ujarnya.
Menurut jurucakap mahkamah itu, pihak berkuasa di Thailand juga tidak mahu menahan semua tertuduh terlalu lama tanpa perbicaraan yang adil.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, impian Eda Ezrin untuk segera keluar dari penjara musnah apabila perlu menjalani tambahan tempoh tahanan di penjara selama sebulan lagi bermula 6 April lalu.
la susulan Pendakwa Raya Wilayah mengemukakan rayuan untuk melanjutkan tahanan reman terhadap Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, pada 2 April lalu.
Lanjut tahanan reman itu dibuat selepas pendakwa raya memaklumkan pihaknya
akan mencari lebih banyak bukti untuk mengaitkan penyanyi itu dan lima lagi tertuduh bagi pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Sebelum ini, penyanyi sohor dari Kelantan itu telah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok di sini pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE