PETALING JAYA – Helah pihak sindiket mengikrarkan pembungkusan bunga ganja sebagai buku, pakaian dan alat permainan bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila dadah itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Rampasan bunga ganja seberat 36.09 kilogram (kg) bernilai lebih RM3.56 juta itu dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 April lalu ketika dadah berkenaan ingin dieksport ke Eropah.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan tersebut dilakukan selepas pihaknya melakukan imbasan terhadap ‘parcel’ berkenaan dan menunjukkan imej menyerupai bahan organik di Pusat Mel dan Kurier, KLIA.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut telah menemui bahan organik yang disyaki dadah jenis bunga ganja, dengan anggaran berat sebanyak 36.091 kilogram dengan dianggarkan RM3,567,595.
“Ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian I. Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Taufik berkata, nilai pasaran semasa bunga ganja itu adalah sekitar RM98,000 sekilogram berbanding daun ganja kering hanya RM3,000 sekilogram.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati dadah itu dibawa dari tiga kawasan iaitu Pulau Pinang, Lembah Klang dan Pahang sebelum dipos melalui jalan udara di KLIA.
Bagaimanapun katanya, beliau percaya bunga ganja berkenaan diperolehi dari luar negara sebelum dieksport semula ke Eropah.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan Membuat pengikraran tidak benar dalam borang ‘bil airway’ dengan menyatakan barangan sebagai buku, pakaian dan alatan permainan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.-KOSMO! ONLINE