‘Saya tak sedar, tahu-tahu isteri, anak dan mentua sudah tiada’

13 hours ago 8

TUMPAT – Seorang pekerja sebuah syarikat berkaitan kerajaan tidak menyedari kemalangan melibatkan kereta yang dipandu ketika sedang dalam perjalanan pulang ke kampung bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Laloh dekat Kuala Krai semalam mengorbankan tiga ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, Safinaz Razmi, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak perempuannya, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, dan cucu, Nur Nuha Helena Abd. Matin yang berusia enam bulan menghembuskan nafas di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Muhamad Danial Darwish Che Hasmadi, 23, yang merupakan suami kepada Jasmin Lyana berkata, dia yang berada dalam keadaan tidak sedar selepas nahas itu sempat bertanyakan keadaan isteri dan anaknya kepada pihak hospital semasa dirawat di HSIP.

Katanya, dia ketika itu dimaklumkan bahawa isteri dan anaknya tunggalnya masih hidup manakala ibu mentua pula maut di lokasi kejadian.

“Apabila sedar daripada pengsan akibat pendarahan yang banyak dalam kemalangan itu, baru saya tahu isteri dan anak pula meninggal dunia di HSIP.

“Sepanjang dirawat di HSIP, hati saya tidak tenang dan minta untuk dipindahkan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi memudahkan saya menghadiri upacara pengebumian arwah Jasmin Lyana dan Nur Nuha Helena di Tumpat,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam, Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah di sini hari ini.

Muhamad Danial Darwish memberitahu, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami sesak nafas, kegagalan buah pinggang dan pendarahan dalaman.

Menurutnya, meskipun keadaan kesihatan yang kritikal, dia tetap gagahkan diri untuk hadir ke upacara pengebumian mentua, isteri dan anak kesayangannya.

Sementara itu, adik kepada Muhamad Danial Darwish, Nur Irdina Sofia, 22, berkata, abangnya baru sahaja membeli kereta jenis Perodua Bezza dipandunya itu pada 3 Mei lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan abang pada tahun lalu dan kami berjanji akan berkumpul di rumah ibu di Kampung Binjai, Banggu dekat Kota Bharu pada hari kedua Hari Raya Aidiladha iaitu hari ini.

“Saya juga sudah berniat untuk memasak daging harimau menangis kepada abang sempena hari raya. Semua itu tidak boleh dilakukan kerana tiga ahli keluarganya maut dalam nahas itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |