‘Saya lega sebenarnya dan bangga sangat dengan Amarra’

11 hours ago 9

SHAH ALAM – Pelakon dan penyanyi Eira Syazira mengakui berasa lega apabila anaknya, Amarra Sophie Rose diumumkan tersingkir pada konsert separuh akhir Talk To My Manager 2 (TTMM2) di sini, semalam.

Eira atau nama penuhnya Syazira Shuhaimi, 41, yang menggantikan posisi suaminya, Azad Jasmin sebagai pengurus semalam berkata, melihat Amarra berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir sudah cukup membanggakannya.

“Saya lega sebenarnya, Alhamdulillah tetapi sangat bangga dengan Amarra sebab berjaya sampai ke tahap ini.

“Dia berjuang dengan setiap kecaman yang dilemparkan umum kepadanya.

“Kemudian saya tengok dia punya usaha keras setiap minggu, mahu buktikan kemampuan vokal dan melawan semua kata-kata negatif termasuk yang nak tengok dia tersingkir. Amarra memang anak yang sangat positif,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Mengulas mengenai dakwaan penyingkiran Amarra mempunyai unsur sabotaj, Eira menolak perkara tersebut sebaliknya menerima dengan hati yang terbuka perjalanan anaknya di TTMM2 hanya sekadar di peringkat separuh akhir.

“Saya tak terfikir pun tentang itu tetapi kalau ada atau sebagainya, saya yakin setiap keburukan akan berbalik menjadi kebaikan.

“Saya selalu ajar Amarra agar sentiasa bersangka baik walaupun realitinya ada manusia zaman sekarang hanya pandai nak
menghakimi, mengecam dan membenci.

“Apapun ini sebuah pertandingan. Saya lebih suka fikir tentang manusiawi berbanding permainan atau politik,” ujarnya.

Menjawab ketiadaan Azad pada konsert separuh akhir, Eira memberitahu keadaan kesihatan suaminya tidak mengizinkannya untuk hadir.

“Kesihatannya tidak mengizinkan. Azad tak sihat. Dia kata buasir,” selorohnya.

Dalam pada itu, dia juga mendedahkan Amarra bakal merakam single sulung hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Mimi Fly dalam masa terdekat.

“Pada minggu dia mendendangkan lagu Angkat, Mimi menonton persembahan Amarra kemudian hubungi Azad.

“Mimi maklumkan ada lagu baru untuk Amarra. Jadi, selepas tersingkir ini, Amarra akan rakam single tersebut.

“Insya-Allah akan segerakan penghasilan single tersebut,” kongsinya.

Sementara itu, Amarra pula reda dengan penyingkirannya meski tidak dapat melangkah ke pentas akhir minggu depan bersama lima peserta yang masih bersaing.

Dia juga menegaskan tidak pernah menyesal menyertai TTMM2 meski perlu berdepan dengan kecaman dan meninggalkan seketika kumpulan tarian yang disertai sebelum ini.

“Saya baru berumur 13 tahun dan perjalanan dalam industri seni baru saja bermula. Selepas ini mungkin akan sambung semula aktiviti dengan pasukan tarian saya.

“Rasa sedih itu tetap ada, tetapi tidak mengapa sebab dapat ke separuh akhir pun sudah bersyukur.

“Memang ada rasa ralat tetapi reda tambahan pula saya bakal ada single ciptaan Mimi Fly dan teruskan persekolahan seperti biasa selepas ini,” ujarnya.

Semalam, Amarra diumumkan menjadi peserta terakhir tersingkir untuk TTMM2 sekali gus melenyapkan impiannya untuk melangkah ke peringkat akhir minggu depan.

Lima peserta yang bakal berentap di pentas final TTMM2 ialah Azeva (Datuk A.Aida), Cik B (Datuk Seri Vida), Hussain (Jamilul Hayat), Anggrek (Adira Suhaimi) dan Kim Khairi (Safura).

Kesemua mereka bakal merebut gelaran juara TTMM2 dan wang tunai berjumlah RM30,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |