‘Saya ingat dunia sudah kiamat’

1 month ago 20

BANDA ACEH – Majlis memperingati 220,000 orang yang terkorban dua dekad lalu apabila ombak besar tsunami melanda pantai sekitar Lautan Hindi dalam salah satu bencana terburuk di dunia berlangsung semalam.

Gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.1 di hujung barat Indonesia pada 26 Disember 2004 menghasilkan ombak setinggi 30 meter yang menghentam pantai 14 negara dari Indonesia hingga ke Somalia.

Siren dibunyikan di Masjid Raya Baiturrahman, wilayah Aceh, Indonesia, di mana lebih 100,000 orang terbunuh untuk memperingati bencana tsunami.

Majlis peringatan turut diadakan di Sri Lanka, India dan Thailand yang dilanda tsunami beberapa jam kemudian pada 2004.

Mangsa-mangsa bencana menceritakan tentang kisah ngeri dan keajaiban kelangsungan hidup apabila ombak gergasi melanda tanpa amaran, membawa serpihan termasuk kereta dan memusnahkan bangunan di belakang mereka.

“Saya fikir ini adalah hari kiamat.

“Pada pagi Ahad (26 Disember 2004), di mana keluarga kami semua ketawa bersama, tiba-tiba bencana melanda dan semua mereka hilang.

“Saya tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata,” ujar Hasnawati yang merupakan seorang guru berusia 54 tahun di masjid itu kepada AFP.

Sementara itu, di kubur besar Siron, Aceh, di mana kira-kira 46,000 jenazah dikebumikan, saudara-mara mangsa membaca doa di bawah naungan pokok-pokok yang telah tumbuh.

Seorang suri rumah warga Indonesia bernama Khyanisa, 59, kehilangan ibu dan anak perempuannya dalam tragedi itu.

“Saya mencari mereka di mana-mana. Ada ketikanya apabila saya mengingati mereka sudah tiada, saya rasa dada ini sakit. Saya menjerit kesedihan,” katanya.

Mangsa-mangsa tsunami itu termasuk ramai pelancong asing yang meraikan Krismas di rantau Lautan Hindi.

Geseran plat dasar laut menolak ombak pada kelajuan dua kali ganda kereta api laju, melintasi Lautan Hindi dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Sejumlah 226,408 orang maut dalam bencana tsunami 2004, demikian menurut pangkalan data bencana global EM-DAT.

Dalam pada itu di Thailand, di mana separuh daripada lebih 5,000 orang yang maut ialah pelancong asing, majlis memperingati bencana itu dihadiri sanak saudara yang menangis sambil meletakkan kalungan bunga di dinding berbentuk ombak di Ban Nam Khem, kampung yang paling teruk dilanda ombak besar tsunami.

“Saya berasa sedih. Saya datang ke sini setiap tahun,” kata Napaporn Pakawan, 55, yang kehilangan kakaknya dan seorang anak saudara dalam tragedi itu.

Mangsa-manga tsunami yang terselamat dan saudara mara berkumpul untuk mengingati kira-kira 1,000 daripada lebih 35,000 mangsa yang maut dalam bencana itu di Sri Lanka.

Mereka yang berkabung menaiki kereta api Ocean Queen Express menuju ke Peraliya, tempat tepat di mana gerabak-gerabak kereta api dihanyutkan ombak besar sekitar 90 kilometer ke selatan Colombo. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |