Samurai sampah Kelantan, diejek ‘gila’ sebelum diiktiraf

7 hours ago 3

JAM sudah hampir 11 malam ketika Nik Ahmad Kashfi Nik Zamani tiba di Bachok, Kelantan selepas menempuh perjalanan hampir 40 minit dari Kota Bharu.

Pemuda berusia 31 tahun itu singgah di sebuah stesen minyak untuk membersihkan diri sebelum menghabiskan malamnya dengan menyunting rakaman video di dalam keretanya.

Sebaik selesai menunaikan solat subuh, dia menyarung persalinan kimono, menyandang bakul sampah serta membawa peralatan mengutip sampah yang diubah suai sendiri sebelum memulakan siaran langsung.

Bagi kebanyakan orang, waktu itu barangkali sedang sibuk membuat persiapan untuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.

Namun, bagi lelaki yang lebih dikenali sebagai Kay itu, saat itulah bermulanya misi menyemai kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Sekarang ini saya sedang melakukan jelajah kutip sampah di seluruh Kelantan. Saya mulakan di Kota Bharu, kemudian ke Bachok dan selepas ini akan bergerak ke beberapa daerah lagi.

“Setiap daerah saya kunjungi bukan sekadar untuk menghasilkan kandungan media sosial, tetapi untuk mengajak orang ramai melihat sendiri bahawa menjaga kebersihan ialah tanggungjawab bersama,” katanya kepada CitaRasa.

Kay bukanlah petugas pihak berkuasa tempatan atau aktivis alam sekitar sepenuh masa.

Kay banyak berkongsi
mengenai kesedaran kebersihan
di media sosial.

Sebaliknya, anak jati Kota Bharu itu sukarelawan kebersihan yang menggunakan media sosial sebagai medium berkongsi misinya mengutip sampah di kawasan awam dengan pendekatan tersendiri.

Penampilan uniknya mengenakan kimono, membawa bakul sampah buatan sendiri serta menggunakan peralatan yang diubah suai berjaya menarik perhatian ramai sebelum mesej mengenai kepentingan menjaga kebersihan disampaikan.

Sejak mula menghasilkan kandungan berkaitan kebersihan sekitar 2021, Kay konsisten menjelajah pelbagai lokasi bagi membersihkan kawasan awam.

Namun, penggunaan elemen budaya Jepun dalam penampilannya menjadikan misi tersebut lebih mudah dikenali masyarakat.

Menurut Kay, pemilihan tema Jepun bukan sekadar untuk mencipta identiti, sebaliknya berkait rapat dengan minatnya terhadap budaya negara itu serta mesej kebersihan yang ingin diketengahkan.

“Saya memilih tema Jepun kerana saya meminati anime, selain tertarik dengan budaya masyarakat Jepun yang menitikberatkan kebersihan.

“Saya mendapat inspirasi daripada konsep Gomi Hiroi Samurai di Jepun yang menggunakan imej samurai ketika melakukan aktiviti mengutip sampah.

“Cabaran pertama memang rasa malu. Kali pertama memakai baju itu, selipar terompah dan membawa bakul sampah, saya rasa pelik juga sampai hampir berpatah balik.

“Namun, saya fikir saya melakukan sesuatu yang baik untuk komuniti. Kalau saya malu dengan pandangan orang, sampai bila saya mahu mula?” katanya yang turut berkomunikasi dalam bahasa Jepun hasil belajar sendiri di YouTube.

Kay sering berganding bahu dengan komuniti dalam aktiviti gotong-royong.

Mengulas lanjut, Kay yang tidak pernah ke Jepun atau menuntut di Jepun mengakui perjalanan membina identiti yang kini dikenali ramai itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada awalnya, dia mendapatkan kimono Jepun daripada sebuah kedai bundle sebelum melengkapkan penampilannya dengan aksesori seperti topi dan kasut sehingga membentuk identiti yang menjadi perhatian masyarakat.

Walaupun cuaca Malaysia yang panas sering menjadi perhatian, pemilik akaun TikTok @kay.chanel52 itu melihatnya sebagai peluang untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mesej kebersihan.

“Saya disalah anggap sebagai warga Jepun yang datang ke Kelantan untuk menghasilkan kandungan sehingga ada penduduk tempatan cuba komunikasi dengan saya dalam bahasa Inggeris.

“Malah, ada juga segelintir individu yang anggap saya berkelakukan pelik sehingga melabel saya sebagai ‘gila’ kerana sanggup mengutip sampah dengan pakaian sedemikian.

“Namun, persepsi itu berubah apabila mereka mengetahui tujuan sebenar di sebalik tindakan saya itu dan meminta maaf,” katanya.

Usaha yang pada awalnya dianggap pelik itu akhirnya mendapat perhatian apabila Kay mula dilibatkan dalam pelbagai program komuniti termasuk aktiviti gotong-royong bersama penduduk setempat.

Kesungguhannya turut mendapat pengiktirafan apabila dia menerima anugerah daripada kerajaan negeri Kelantan atas usaha mempromosikan kebersihan dalam kalangan anak muda.

Kay menerima Penghargaan Khas Rakan Alam Sekitar (Kluster Komuniti) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 di Kota Bharu yang turut menyaksikan dirinya menerima pengiktirafan Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut Kay, selepas menerima pengiktirafan tersebut, beberapa pihak mula menghubunginya untuk menyertai program kebersihan dan menjadikannya antara figura yang membawa mesej kebersihan kepada komuniti.

“Selepas dapat anugerah itu, ada beberapa pihak mula jemput saya untuk sertai program komuniti. Mereka anggap saya sebagai salah satu contoh atau model kebersihan untuk anak-anak muda di Kelantan.

“Saya bukan buat semua ini untuk dapat pengiktirafan, tetapi kalau melalui cara ini lebih ramai orang tergerak untuk menjaga kebersihan, itu sudah cukup bagi saya,” katanya.

Sepanjang menjalankan misi tersebut, Kay turut berdepan pelbagai pengalaman yang tidak dijangka.

Antaranya apabila ada kanak-kanak yang mula mengikut tindakannya selepas melihat dia mengutip sampah di kawasan awam.

Katanya, perkara itu menjadi antara detik menggembirakan kerana menunjukkan mesej yang cuba disampaikan mula diterima golongan muda.

Selain itu, dia turut menyedari kawasan pantai antara lokasi yang paling banyak berdepan masalah sampah, terutama selepas musim perayaan atau ketika kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai.

Menurut Kay, isu kebersihan bukan hanya berpunca daripada kekurangan kemudahan, sebaliknya sikap segelintir masyarakat yang masih mengambil mudah tentang pembuangan sampah.

“Kadang-kadang tong sampah ada, tetapi orang masih buang merata kerana malas nak jalan ke tong sampah. Masalahnya bukan semata-mata kemudahan, tetapi sikap kita sendiri.

“Saya harap selepas ini masyarakat akan lebih peka. Kalau setiap orang ambil sedikit tanggungjawab, kawasan kita akan jadi lebih bersih,” katanya.

Bagi Kay, perubahan terhadap sikap masyarakat tidak boleh berlaku dalam tempoh singkat, namun ia perlu dimulakan dengan pendidikan sejak usia muda.

Dia berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak sekolah dan komuniti untuk menerapkan budaya menjaga kebersihan sebagai amalan harian.

“Saya mahu dekatkan diri dengan anak-anak sekolah dan cikgu-cikgu untuk terapkan nilai kebersihan. Kalau dari kecil sudah biasa kutip sampah dan jaga kawasan sekeliling, lama-lama akan jadi budaya.

“Harapan saya dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, saya mahu lihat perubahan dalam masyarakat kita walaupun sedikit.

“Yang penting ada kesedaran bahawa kebersihan ini tanggungjawab semua orang,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |