PETALING JAYA – TMD Energy Limited (TMD Energy) penyedia perkhidmatan bunkering marin bersepadu yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura serta sebahagian daripada Straits Energy Resources Berhad (Straits), mengumumkan bahawa sahamnya telah disenaraikan dan mula diniagakan di NYSE American.
Harga saham TMD Energy buka pada AS$3.26 (RM14.21) pada hari Isnin, meningkat kepada AS$4.12 (RM17.96) sebelum menutup pada AS$3.63 (RM15.8), 11.69 peratus lebih tinggi daripada harga IPO AS$3.25 (RM14.17).
Ini memberikan TMD Energy nilai pasaran AS$83.85 juta (RM367.2 juta) pada hari pertama sebagai syarikat tersenarai awam.
Tawaran awam permulaan (IPO) TMD Energy ditetapkan pada harga AS$3.26 (RM14.21) sesaham.
Hasil IPO itu akan digunakan untuk pembelian minyak kargo,menampung kos penyenaraian dan untuk modal kerja serta tujuan korporat am lain.
Pengerusi, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TMD Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, pihaknya berbangga menjadi pembekal bunker marin Malaysia yang pertama disenaraikan di bursa utama Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara peneraju dalam industri ini.
Menurut beliau, dengan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia yang terletak di sepanjang laluan perkapalan utama termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan serta permintaan bahan api bunker yang kekal kukuh di rantau ini dan peringkat global, pihaknya berada dalam kedudukan yang kukuh untuk terus berkembang.
“Penyenaraian di NYSE American akan membantu mempertingkatkan profil antarabangsa syarikat, meluaskan jangkauan pasaran, meneroka pasaran baharu, serta menjana pulangan yang mampan dan lebih tinggi kepada pemegang saham.”
“Dengan kehadiran kami di NYSE American, TMD Energy bersedia untuk melangkah ke fasa pertumbuhan baharu.
“Sambil terus memacu pertumbuhan organik yang kukuh dan sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan strategik kami, syarikat kekal memberi tumpuan terhadap usaha mengenal pasti dan melaksanakan peluang penggabungan dan pengambilalihan strategik yang selari dengan visi jangka panjang kami serta memperkukuh kehadiran serantau,” katanya dalam kenyataan di sini.
TMD Energy dan anak syarikatnya (Kumpulan TMD Energy) terlibat dalam perkhidmatan bunkering bahan api marin, khusus dalam pembekalan dan pemasaran minyak gas marin dan minyak bahan api marin kepada pelbagai jenis kapal di laut.
Selain itu, syarikat yang beroperasi di 19 pelabuhan di seluruh negara dengan 15 armada bunkering, turut menyediakan perkhidmatan penyewaan kapal dan pengurusan kapal.
TMD Energy adalah sebahagian daripada Straits, syarikat Fortune Southeast Asia 500 yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. -KOSMO! ONLINE