PETALING JAYA – Kerajaan Sabah menerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan semakan kadar baharu Pemberian Khas atau Special Grant di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan tahun ini juga meskipun isu berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendirian itu dicapai menerusi Sesi Perbincangan Khas melibatkan pimpinan utama GRS dan wakil ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Menurut beliau, sesi tersebut turut disertai tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
“GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.
“Diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Armizan berkata, komitmen itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini termasuk di Dewan Rakyat pada 13 November lalu bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pendirian tersebut sekali gus memperbetulkan pendekatan pentadbiran terdahulu yang didakwa tidak membuat semakan selain pernah menyatakan hak berkenaan telah terhenti berkuat kuasa.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan terus menggunakan saluran rundingan sedia ada bagi memastikan kadar baharu Special Grant yang lebih tinggi dapat direalisasikan.
“Sabah menuntut hak dan tambahan hasil ini untuk memperbesarkan ruang fiskal negeri untuk kesejahteraan rakyat dan lonjakan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kadar Special Grant daripada RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan beberapa inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan negeri.
Antaranya termasuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ yang merekodkan sebanyak 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin setakat 30 April lalu.
Selain itu katanya, Program Sentuhan Kasih Rakyat yang diperkenalkan dua tahun lalu turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada kira-kira 140,000 ketua isi rumah miskin di Sabah.
Menurut beliau, sekiranya kadar Special Grant terus ditingkatkan tahun ini, kerajaan negeri dijangka memberi fokus kepada projek tambahan termasuk menaik taraf sistem perpaipan air bagi menangani isu air tidak berhasil serta pembinaan jambatan khususnya di kawasan luar bandar Sabah. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6







![[VIDEO] Pemandu e-hailing ‘campak’ pelanggan tepi jalan pagi Aidiladha](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-13.56.27.jpeg)




![[VIDEO] Penumpang tampar isteri ketika pertikai bayaran tambang RM7](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-10.12.59.jpeg)


































