Rybakina tawan Terbuka Australia

1 day ago 7

MELBOURNE – Elena Rybakina mempamerkan aksi berani dan penuh disiplin untuk menafikan status pilihan utama Aryna Sabalenka, sekali gus menjulang gelaran sulung Terbuka Australia selepas kemenangan dramatik 6-4, 4-6, 6-4 pada aksi final di Rod Laver Arena kelmarin.

Ia bukan sahaja menamatkan penantian Rybakina di Melbourne, malah melengkapkan misi balas dendam ke atas Sabalenka selepas kekalahan di pentas sama tiga tahun lalu.

Kejayaan itu secara tidak langsung menghadiahkan gelaran Grand Slam kedua buat pemain Kazakhstan tersebut selepas memenangi Wimbledon 2022.

Turun selaku pilihan kelima, Rybakina bermula agresif apabila mematahkan servis Sabalenka seawal permainan pertama set pembukaan, sebelum menutup set tersebut dengan penuh bergaya hasil ketajaman pukulan baseline yang konsisten dan bertenaga.

Tekanan berterusan yang dilancarkan Rybakina jelas menggugat rentak Sabalenka, juara bertahan dua kali, apabila pukulan derasnya memaksa bintang Belarus itu lebih banyak bertahan sekali gus mencetuskan kesilapan pada detik-detik kritikal.

Namun, Sabalenka enggan mengalah apabila bangkit pada set kedua, memanfaatkan beberapa kesilapan pukulan forehand Rybakina untuk menyamakan kedudukan, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan yang berlangsung sengit dan penuh tekanan.

“Saya sangat gembira dan bangga. Ia perlawanan yang sangat sukar dan saya tidak menjangkakan mampu mengubah keadaan,” kata Rybakina yang kini mencatat 14 kemenangan daripada 15 perlawanan terakhirnya.

Ketika perlawanan memuncak di set ketiga, Rybakina mengekalkan ketenangan sebelum menoktahkan kemenangan dengan satu ace padu, simbol keyakinan dan kematangan mental yang semakin menonjol dalam permainannya.

“Saya berterima kasih kepada pasukan. Tanpa mereka, kejayaan ini tidak mungkin tercapai. Kami melalui banyak perkara dan saya harap momentum ini dapat diteruskan sepanjang musim,” katanya yang dijangka melonjak ke ranking ketiga dunia. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |