PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan pihaknya memandang serius dakwaan tular di media sosial yang mendakwa pengguna menerima minyak petrol RON95 dengan kuantiti dan kualiti diragui selepas pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, susulan dakwaan tersebut, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan supaya tindakan segera dan menyeluruh diambil bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus demi melindungi hak pengguna.
“Sehingga kini KPDN sudah menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 dan tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah.
“Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95,” katanya.
Menurut Azman, antara tindakan yang diambil termasuk pemeriksaan terhadap pam minyak serta semakan rekod jualan stesen.
Katanya, hasil siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan di bawah bidang kuasa KPDN.
“Kementerian ingin menegaskan pelaksanaan Budi95 tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.
“Bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azman turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan isu ini.
Beliau berkata, syarikat yang melanggar peraturan boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh mencecah RM500,000.
“Bagi kesalahan individu, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Azman turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan isu ini supaya menyalurkannya secara rasmi kepada KPDN bagi tindakan lanjut.
“KPDN memberikan komitmen bahawa setiap aduan yang dikemukakan berserta maklumat berkaitan akan disusuli dengan tindakan segera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4






![[VIDEO] ‘Macam mana jari kau boleh masuk situ kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-01-at-5.04.16-PM.jpeg)









![[VIDEO] ‘Adik tak sihat, dia nampak seperti suami dok panggil dan ejek’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Marliana.jpeg)
![[VIDEO] Selepas ‘pesta kerang’, kini siput beliung serbu Pantai Permatang Pasir](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/siput-beliung.jpeg)































